Ibu 3 anak scam wanita tua, didakwa di mahkamah


Seorang peniaga online didakwa di Mahkamah Majistret Kota Bharu hari ini kerana memperdaya wanita dengan menyamar sebagai pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Mac lalu. 

Pertuduhan itu dibacakan di hadapan Majistret Mohd Izzudin Mohd Shukri dan tertuduh, Ellysuhana Mustapha, 37, mengaku tidak bersalah. 

Menurut laporan Harian Metro, ini merupakan kali kedua tertuduh dihadapkan ke mahkamah di mana kes sebelum ini dia didakwa memperdayakan seorang ibu tunggal sehingga mangsa menyerahkan barangan kemas bernilai RM11,000, Mac lalu. 

Berdasarkan pertuduhan, Ellysuhana didakwa menipu Saiyidah Maidin, 56, dengan menyamar sebagai pegawai JKM yang kononnya mahu memberi bantuan perumahan. Mangsa terperdaya menyerahkan dua gelang emas. 

Ellysuhana melakukan kesalahan itu di Kampung Serendah, Keterah pada jam 1:30 tengah hari, 13 Mac 2019.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun, sebat dan denda jika didapati bersalah. 

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Gayathri Sambath, manakala tertuduh diwakili peguam Nik Nasrun Nazmi Nik Mohamad. 

Terdahulu, Gayathri menawarkan jaminan RM8,000 dengan seorang penjamin terhadap tertuduh. Tetapi, Nik Nasrun memohon jaminan minimum dengan mengambil kira latar belakang keluarga anak guamnya yang perlu menyara tiga anak yang masih kecil. 

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 24 April ini untuk serahan dokumen. 

Sumber: Harian Metro


Sumber : thereporter.my