Serhii Andrieiev sedia rantai penjaring terbanyak Liga Super


KUALA TERENGGANU: Pertahanan import Terengganu FC (TFC), Serhii Andrieiev sedia merantai penyerang bahaya PKNS FC yang menjadi penjaring terbanyak Liga Super musim ini, Kpah Sherman daripada memiliki ruang meledak gol apabila kedua-dua pasukan bertembung dalam saingan Piala Malaysia di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Jumaat ini.

Bekas pemain Terengganu FC ll (TFC ll), yang baru dinaikkan pangkat itu juga bertekad mahu memberikan aksi terbaiknya bagi membantu naib juara Piala Malaysia musim lalu itu mengharungi cabaran hingga ke final.

Pemain kelahiran Ukraine itu juga berazam mahu membalas kepercayaan dan peluang yang diberikan oleh pemangku ketua jurulatih TFC, Nafuzi Zain biarpun sedar faktor keserasian bersama rakan sepasukannya perlu ditingkatkan lagi bagi mengharungi saingan piala berprestij itu.

"Memang ada sedikit kelainan apabila bermain dengan skuad TFC berbanding ketika menyarung jersi bekas pasukan terutama daripada segi kualiti dan corak permainan kerana ia berada pada satu tahap yang lain.

"Bagaimanapun saya akan cuba memperagakan aksi terbaik dan lebih mantap bagi membantu pasukan memenangi perlawanan pertama menentang PKNS FC itu.

"Saya juga sudah bersedia untuk menyekat penyerang utamanya, Sherman daripada bergerak bebas kerana pemain itu cukup bahaya jika tidak dikawal ketat," katanya

Penampilan sulungnya bersama skuad Penyu ketika bertemu Johor Darul Ta'zim (JDT) pada perlawanan terakhir liga 19 Julai lalu, Andrieiev berjaya meledak satu gol ketika pasukannya terikat 3-3 dengan juara Liga Super musim ini itu di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin.

Sementara itu, Nafuzi menyatakan bekas pemain TFC II itu sudah menunjukkan prestasi baik biarpun pertama kali beraksi bersama pasukan ketika bertemu JDT.

"Dia (Andrieiev) bukan saja mampu bertahan dengan baik ketika perlawanan dengan JDT, malah dia juga berjaya menjaringkan satu gol yang sangat bermakna.

"Justeru saya menuntut pemain itu untuk mempamerkan aksi lebih mantap dan bertenaga kerana Piala Malaysia ini cabarannya lebih sengit apatah lagi diundi bersama juara Piala FA, Kedah, Negeri Sembilan selain PKNS dalam Kumpulan A," kata bekas penyerang skuad Terengganu era 2000 itu. - Berita Harian