Piala Malaysia : Terengganu FC mampu melangkah jauh - Irfan Bakti


BEKAS pengendali Terengganu FC (TFC), Irfan Bakti Abu Salim mengingatkan skuad itu agar menang di laman sendiri jika berhajat melepasi saingan peringkat Kumpulan A Piala Malaysia.

Beliau turut mengingatkan naib juara Piala Malaysia musim lalu itu mampu 'mencuri' mata di gelanggang lawan bagi mengintai kedudukan dua pasukan terbaik peringkat kumpulan.

Pengendali berpengalaman itu yakin TFC mampu mara ke suku akhir biarpun diundi bersama juara Piala FA musim ini, Kedah selain PKNS FC dan Negeri Sembilan.

"Saya melihat Kumpulan A kumpulan paling senang buat TFC ke peringkat lapan terakhir berbanding tiga kumpulan lagi biarpun ramai berpendapat ia kumpulan 'maut'.

"Ini kerana saya melihat pasukan PKNS sedikit terumbang-ambing sejak kebelakangan ini dengan merekod beberapa keputusan yang kurang memberangsangkan, manakala pasukan Negeri Sembilan yang beraksi dalam Liga Perdana mampu dicabar pemain TFC.

"Tapi paling mencuri tumpuan pertembungan TFC dengan Kedah, ini kerana pemain TFC sudah dapat memadam badi dengan skuad itu pada musim ini, bagi saya aksi itu yang paling menarik peringkat kumpulan," ujar Irfan.

Terengganu menamatkan saingan Liga Super di tangga ketujuh berbanding kelima musim lalu bakal berkunjung ke Stadium Darul Aman, Alor Setar pada 8 Ogos bertemu skuad Helang Merah.

Irfan meletak jawatan sebagai ketua jurulatih skuad Penyu pada 15 Mei lalu, menyatakan prestasi semasa pemain di atas padang selain taktikal yang bakal diterapkan barisan jurulatih adalah penentu kejayaan skuad itu.

"Saya jangka TFC mampu mara hingga ke separuh akhir berdasarkan prestasi pemain kian meningkat dalam liga terutama pemain muda, ini sesuatu yang positif buat pasukan.

"Tapi untuk ke final seperti musim lalu saya tidak berani meramalkan namun jika pemain menggandakan prestasi mereka serta taktikal jurulatih menjadi, tidak mustahil sekali lagi TFC mara ke final musim ini," ujar Irfan. - Harian Metro