Rahmat lupakan aksi 'kungfu', idam sarung jersi Kebangsaan


KUALA TERENGGANU: Tragedi aksi ala 'kungfu’ ketika saingan peringkat kumpulan Sukan Malaysia (SUKMA) di Perak musim lalu bagaikan sejarah hitam buat pemain muda meningkat naik Terengganu FC (TFC), Mohamad Rahmat Makasuf.

Rahmat, 22,  kelahiran Kampung Cheting, Kuala Berang itu mahu melupakan detik hitam itu dan bertekad menjadi pemain paling bernilai kepada pasukannya setiap kali diturunkan.

Pemain itu juga berazam mahu mengintai peluang mewakili skuad kebangsaan selain mengharapkan bakatnya dapat dihidu pengendali skuad kebangsaan.

“Peristiwa yang berlaku musim lalu tidak akan berulang lagi dan saya sendiri berusaha melupakan detik hitam itu.

“Apa yang saya impikan kini selepas menjadi pemain utama skuad TFC adalah membantu pasukan mencatat kemenangan dalam setiap perlawanan sekali gus mahu membalas kepercayaan barisan jurulatih yang memberi peluang kepada saya berada dalam kesebelasan utama.

“Saya juga mahu mengutip seberapa banyak ilmu terutama dengan pemain senior dalam pasukan kerana ia pengalaman berharga bagi setiap pemain terutama pemain muda seperti saya yang berada dalam pasukan utama.

“Jika diberi peluang menyarung jersi skuad kebangsaan suatu hari nanti, saya pasti tidak akan menolaknya kerana itu impian saya sejak berada di bangku Sekolah Kebangsaan Cheting, Kuala Berang lagi,” kata Rahmat.

Musim lalu, Rahmat bersama seorang lagi rakan sepasukannya, Shafawi Mohamad dilayangkan kad merah pada aksi peringkat kumpulan menentang Johor di Stadium Universiti Pendidikan Sultan Idris Kampus Sultan Azlan Shah, Tanjung Malim selepas terbabit insiden pergaduhan ala 'kungfu’ ketika perlawanan berbaki empat minit.

“Itu cerita musim lalu, saya kini lebih yakin dan matang dan mampu mengawal emosi selepas disenaraikan sebagai pemain utama dalam empat perlawanan bermula bertemu Kedah pada aksi kedua saingan Kumpulan A Piala Malaysia.

“Bermula dengan pasukan Hanelang FC pada 2016, kemudian beraksi bersama skuad Piala Presiden sehingga muncul juara musim lalu, sebelum terpilih membarisi skuad Terengganu FC II dan kini pasukan utama, saya menyasarkan mahu menjulang Piala Malaysia musim ini,” katanya. - Berita Harian