'Saya mohon maaf kerana fitnah Econsave' - Pengendali FB Seri Iskandar Archery Club


Awal September lalu, syarikat Econsave Cash & Carry Sdn Bhd terpaksa membuat laporan polis berhubung fitnah seorang individu yang mendakwa pasar raya itu tidak lagi menjual barangan keluaran Bumiputera Muslim.

Fitnah itu disebarkan oleh pengendali Facebook Seri Iskandar Archery Club di Facebook Group Komuniti Seri Iskandar Perak yang menurutnya, dia sebelum itu telah bertanya sendiri pada kakitangan Econsave. 


Selain laporan polis, Econsave turut memberi tempoh 48 jam terhadap individu itu membuat permohonan maaf di atas fitnahnya yang tidak berasas kerana selama ini Econsave merupakan salah satu pasar raya yang banyak menjual produk-produk Bumiputera dan Muslim.

Tempoh telah diberikan dan akhirnya individu terbabit tampil memohon maaf di atas kesilapannya dan menarik semua kenyataannya yang berkaitan dengan Econsave tempoh hari. 

"Saya mengaku yang saya membuat kesilapan dan telah menyampaikan maklumat yang tidak benar kepada orang awam. 

"Saya juga telah memadamkan post tersebut dari ruangan Facebook dan memohon agar post tersebut tidak lagi disebarkan. 

"Sekali lagi saya mohon maaf kepada pihak Econsave Seri skandar Perak khasnya dan Econsave Malaysia amnya," katanya yang mengaku bersalah di dalam hal itu. 



Difahamkan, Econsave bukan sahaja menjual produk-produk Bumiputera dan Muslim, malah turut membantu menjayakan misi-misi keamanan sejagat. 



Bekas pekerja Econsave juga tampil menafikan dakwaan tidak berasas itu. 

"Aku pernah kerja di Econsave tau. Berani tuduh-tuduh Econsave tak jual produk muslim? Diorang ambil santan, ayam semua dari pembekal muslim. Apa nak tuduh pun biarlah sampai menyeluk ketiak.

"Senanglah nak tuduh, delete, minta orang jangan sebarkan. Terlajak perahu boleh diundurkan tuan," kata netizen membidas individu penyebar fitnah itu. 


LAPORAN BERKAITAN


Sumber : thereporter.my