Dana Tabung Harapan Malaysia RM205 juta telah digunakan untuk bayar hutang 1MDB

Posted on Saturday, November 30, 2019 | 11/30/2019



Dana Tabung Harapan Malaysia (THM) sebanyak RM205 juta telah digunakan sepenuhnya untuk membayar hutang 1Malaysia Development Bhd (1MDB), kata Menteri Kewangan, Lim Guan Eng.

Guan Eng berkata, kerajaan pada 28 November telah menggunakan keseluruhan dana THM dengan pembayaran sebanyak RM61.68 juta bagi pelunasan bayaran faedah sukuk 1MDB IMTN (Islamic Medium Term Note).

"Pembayaran sebanyak RM61.68 juta yang dibiayai oleh dana THM adalah hanya sebahagian daripada jumlah pembayaran faedah IMTN yang berjumlah RM143.75 juta. Baki sebanyak RM82.07 juta telah dibiayai melalui dana pemulihan aset 1MDB yang berjumlah kira-kira RM1.45 bilion setakat ini," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurutnya, kerajaan komited untuk membayar semua obligasi pinjaman yang diwarisi daripada pentadbiran terdahulu dengan bayaran seterusnya yang perlu dibuat oleh 1MDB adalah bayaran faedah bon terbitan 1MDB Global Investments Limited (GIL) sebanyak AS$66 juta yang akan dibayar pada 9 Mac 2020.

"Secara keseluruhannya, sebanyak RM13.9 bilion terpaksa dibelanjakan oleh kerajaan untuk membiayai hutang-hutang 1MDB dan SRC International Sdn Bhd (SRC) sejak 2017 hingga 2020.

Guan Eng berkata, hutang 1MDB pada masa ini adalah berjumlah RM50.5 bilion termasuk faedah yang hanya akan dilangsaikan sepenuhnya pada tahun 2039.

"Dengan pembayaran terakhir sebanyak RM61.68 juta maka dana THM sebanyak RM205 juta telah digunakan sepenuhnya untuk membayar hutang 1MDB," katanya.

Kementerian Kewangan pada 7 Februari lepas telah memaklumkan bahawa baki akhir THM sehingga 14 Januari lepas iaitu tarikh akhir penerimaan sumbangan adalah berjumlah RM202.71 juta dan selanjutnya faedah pelaburan sebanyak RM2.77 juta telah diterima dan ini menjadikan jumlah besar dalam akaun amanah THM adalah sebanyak RM205.49 juta.

Sumber: Bernama


Sumber : thereporter.my
Blog, Updated at: 11/30/2019

0 comments:

Loading...