Pemain import Terengganu FC II belum selamat


KUALA TERENGGANU: Biarpun beraksi cemerlang dalam kejohanan Piala Antarabangsa Sheikh Kamal di Bangladesh bulan lalu, status tiga pemain import Terengganu FC II (TFC II), Bruno Suzuki, Dechi Marcel dan Serhii Andrieiev belum selamat.

Nasib mereka akan diputuskan dalam masa terdekat sama ada akan terus bersama skuad itu atau perlu mengucapkan selamat tinggal.

Seorang lagi pemain import, Akanni Suday Wasiu hampir pasti digugurkan bagi mengharungi saingan Liga Perdana musim 2020.

Ketua jurulatih TFC II yang baharu dilantik, Roshadi Wahab berkata, pada dasarnya beliau berminat untuk mengekalkan Marcel, Suzuki dan Andrieiev.

“Bagaimanapun, saya menyerahkan keputusan itu kepada Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) untuk membuat keputusan kerana TFC II sebagai 'feeder club' perlu ada kerjasama dengan Terengganu FC (TFC).

“Lagipun kontrak semua pemain import itu akan berakhir pada hujung bulan ini dan jika dilihat prestasi Bruno agak baik ketika beraksi bersama TFC dalam Piala Antarabangsa Sheikh Kamal sehingga muncul juara Khamis lalu.

"Apapun saya perlu sepakat dengan ketua jurulatih TFC , Nafuzi Zain kerana kami mahu memastikan hanya yang terbaik dipilih menyarung jersi negeri ini, saya difahamkan dalam sehari dua lagi mungkin kita akan mengetahui status tiga pemain itu,” kata Roshadi.

Musim ini, Roshadi yang membantu Tengku Hazman Raja Hassan dalam skuad itu gagal membantu pasukan mengekalkan trofi Piala Cabaran selepas terkandas di separuh akhir sesudah tumpas kepada Johor Darul Ta`zim II (JDT II).

Mengenai pembantunya musim depan, beliau tidak menolak kemungkinan bekas wira Terengganu dalam final Piala Malaysia 2001, Sapian Wahid akan bersama skuad itu.

“Setakat ini belum sah lagi tetapi dalam sehari dua lagi kita akan tahu sama ada Sapian bakal membantu pasukan atau ada calon lain kerana keputusan akan diumumkan PBSNT,” kata Roshadi. - Berita Harian