Status Kesucian Penggunaan Kerusi Roda Ke Saf Solat


SOALAN:
Kami sebagai pihak pengurusan masjid ingin mendapatkan pandangan berkaitan status kesucian penggunaan kerusi roda yang digunakan khasnya oleh Orang Kelainan Upaya (OKU), dimana mereka melalui jalan-jalan di luar masjid yang mana amat diragukan kesuciannya terus hingga ke saf solat.

JAWAPAN:
Allah SWT memerintah umat Islam bukan sahaja membersih dan menyucikan diri sebelum pergi ke masjid untuk menunaikan solat berjemaah di masjid, bahkan turut memilih pakaian yang cantik dan indah. Firman Allah SWT di dalam al-Quran:

يَا بَنِي آدَمَ خُذُوا زِينَتَكُمْ عِندَ كُلِّ مَسْجِدٍ
“Wahai anak-anak Adam! Pakailah pakaian kamu yang indah berhias pada tiap-tiap kali kamu ke tempat ibadat (atau mengerjakan sembahyang).” (Surah al-Aa’raf: 31)


Begitu juga, Allah SWT memerintahkan Rasulullah SAW sendiri supaya membersih pakaiannya apabila ingin menunaikan solat. Allah SWT berfirman:

وَثِيَابَكَ فَطَهِّرْ
“Dan pakaianmu, maka hendaklah engkau bersihkan.” (Surah al-Muddatsir: 4)


Justeru itu, para ulama’ telah meletakkan syarat suci daripada hadas kecil dan besar serta bersih daripada najis pada badan, pakaian dan juga tempat solat sebagai salah satu daripada syarat sah solat. Hal ini disebutkan di dalam banyak kitab-kitab fiqh, antaranya oleh Imam Ibn Qasim al-Syafie:

الشرط الأول (طهارة الأعضاء من الحدث) الأصغر والأكبر.. (و) طهارة (النجس) -الذي لا يعفى عنه- في ثوب وبدن ومكان
“Syarat sah solat yang pertama ialah suci anggota badan daripada hadas kecil dan hadas besar, serta bersih daripada najis –iaitu yang tidak diampunkan, pada pakaian, badan dan tempat solat.” (Rujuk Fath al-Qarib al-Mujib Syarh Matan al-Taqrib: 73)

Berdasarkan pandangan di atas, kami melihat bahawa kerusi roda yang dibawa untuk solat di atasnya juga turut disyaratkan suci daripada najis. Hal ini kerana ia termasuk dalam alatan yang digunakan untuk menunaikan solat sama seperti sejadah, pakaian dan seumpamanya. Oleh itu hendaklah dipastikan bahawa tiada najis yang terkena pada kerusi roda tersebut untuk digunakan bagi mendirikan solat.

Walau bagaimanapun, jika kita menekuni lebih mendalam isu ini, kita akan mendapat situasi ini hampir sama dengan hukum memakai alas kaki atau kasut ketika solat. Di dalam satu hadith, Rasulullah SAW bersabda:

إِذَا جَاءَ أَحَدُكُمْ إِلَى الْمَسْجِدِ فَلْيَنْظُرْ : فَإِنْ رَأَى فِي نَعْلَيْهِ قَذَرًا أَوْ أَذًى فَلْيَمْسَحْهُ وَلْيُصَلِّ فِيهِمَا
“Apabila seseorang daripada kamu datang ke masjid, maka lihatlah jika ada kotoran atau najis pada kasutnya. Jika ada, maka hendaklah disapunya (dibersihkannya) dan dibolehkan bersolat dengan memakai kasut itu.” [Riwayat Abu Daud (650) dan al-Baihaqi dalam al-Sunan al-Kubra (3889)]


Ibn Ruslan berkata: “Perkataan ‘الْأَذَى’ pada bahasa iaitu yang keji dan kotor sama ada ia bersih atau najis.” (Rujuk Syarh Sunan Abi Daud, 3/72)

Dalam satu riwayat yang lain, Rasulullah SAW bersabda:

إِنَّ جِبْرِيلَ أَتَانِي فَأَخْبَرَنِي أَنَّ بِهِمَا خَبَثًا ، فَإِذَا جَاءَ أَحَدُكُمُ الْمَسْجِدَ فَلْيَقْلِبْ نَعْلَيْهِ ، فَلْيَنْظُرْ : فِيهِمَا خَبَثٌ ؟ فَإِنْ وَجَدَ فِيهِمَا خَبَثًا ، فَلْيَمْسَحْهُمَا بِالْأَرْضِ، ثُمَّ لِيُصَلِّ فِيهِمَا
“Sesungguhnya Jibril A.S datang kepadaku dan memberitahu bahawa di kasutku terdapat kotoran. Maka jika seseorang daripada kamu datang ke masjid hendaklah dia melihat di belakang tapak kasutnya, adakah terdapat kotoran padanya? Jika sekiranya terdapat kotoran hendaklah dia menyapunya (membersihkannya) dengan tanah, lalu dia boleh untuk mendirikan solat dengan memakai kasut tersebut.” [Riwayat Ahmad (11153) dan al-Hakim (955)]


Ibn Malik ketika mensyarahkan hadith ini menyebutkan bahawa:

أن النعل إذا أصابته نجاسة ، فمسحت بالأرض حتى ذهب أثرها، جازت الصلاة فيه
“Sesungguhnya jika sekiranya kasut terkena najis, kemudian dihilangkan dengan disapu oleh tanah sehingga hilang kesannya, maka diharuskan solat dengannya.” (Rujuk Syarh Masabih al-Sunnah, 1:457)

Oleh itu, dapat difahami daripada hadith ini bahawa jika sesuatu yang diguna ke dalam solat seperti kasut dan kasut beroda, jika tidak ada kotoran atau najis yang nyata padanya atau hilang kesannya dengan sebab disapu oleh tanah, maka sah dan harus hukumnya untuk digunakan untuk solat. Namun, jika sekiranya ada kotoran padanya, maka hendaklah menghilangkannya terlebih dahulu.

Dalam satu hadith lain, yang diriwayatkan daripada Ummu Walad bahawa Ibrahim bin Abdul Rahman bin ‘Auf bertanya kepada Ummu Salamah isteri Rasulullah SAW, bahawa beliau R.Anha berkata:

إِنِّي امْرَأَةٌ أُطِيلُ ذَيْلِي وَأَمْشِي فِي الْمَكَانِ الْقَذِرِ . فَقَالَتْ أُمُّ سَلَمَةَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم : يُطَهِّرُهُ مَا بَعْدَهُ
“Sesungguhnya aku adalah wanita yang labuh pakaiannya, dan aku berjalan melalui kawasan yang kotor.” Lalu Ummu Salamah RAnha menjawab: Rasulullah SAW bersabda: “Apa yang selepasnya (iaitu tanah) akan menyucikannya.” [Riwayat Abu Daud (383)]


Hal ini menunjukkan bahawa apabila seseorang yang memakai jubah yang labuh melalui jalan yang kotor, maka ia akan disucikan dengan tanah yang bersih selepasnya. Kita melihat bahawa Rasulullah SAW tidak memberat-beratkan dengan menyuruh Ummu Salamah membersih atau membasuh pakaiannya apabila melalui jalan yang kotor. Hal ini juga menunjukkan bahawa selagimana tiada kesan kotoran atau najis yang nyata, maka ia dikira sebagai suci dan bersih.

Kesimpulan

Berdasarkan perbincangan dan perbahasan di atas, kami menyimpulkan bahawa status kesucian kerusi roda yang dibawa ke saf solat adalah diharuskan dan suci selagi mana tiada najis (ain najasah) yang nyata padanya, serta tidak mengotorkan lantai atau karpet masjid. Sekiranya terdapat kotoran atau najis yang akan mencemarkan kesucian masjid, maka hendaklah dihilangkan dan dibersihkan terlebih dahulu. Disamping itu, jika terdapat cadangan untuk menyediakan kerusi roda yang digunakan hanya di dalam masjid oleh pihak masjid sendiri, perkara tersebut sangatlah dialu-alukan dan disyorkan.

Akhirnya, hendaklah kita memuji usaha dan pengorbanan golongan-golongan OKU ini bagi menghadiri solat berjemaah di masjid serta meraikan mereka dengan memudahkan urusan mereka untuk menyempurnakan ibadah tersebut. Sesungguhnya Allah SWT tidak menjadikan dalam syariat-Nya ini suatu keberatan terhadap hamba-Nya untuk melaksanakannya. Firman Allah SWT:

وَمَا جَعَلَ عَلَيْكُمْ فِي الدِّينِ مِنْ حَرَجٍ
“Dan Dia tidak menjadikan kamu menanggung sesuatu keberatan dan susah payah dalam perkara agama.” (Surah al-Hajj: 78)


Wallahua’lam.

Oleh: Ustaz Dr. Zulkifli Mohamad Al Bakri | Mufti Wilayah Persekutuan
+ Baca Respon Pembaca Di Facebook Oh! Media



Oh! Youtube


Sumber: Oh! Media