JKM Jamin Bekalan Makanan Mencukupi

JKM melakukan penghantaran makanan dan barang keperluan ke Kampung Lubuk Periuk dengan bantuan pasukan FRU Wakaf Tapai


HULU TERENGGANU, 2 Disember - Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Daerah akan memastikan bekalan secukupnya sampai kepada semua mangsa banjir tanpa mengira situasi dan masa.

Pegawainya, Norazmy Adenan berkata pihak mereka akan melakukan yang terbaik supaya tidak timbul masalah kehabisan bekalan makanan atau keperluan semasa.

"Kita akan berhubung dari semasa ke semasa dengan pihak Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) untuk dapatkan maklumat terkini jika berlaku pemindahan.

"Kerjasama MPKK sangat perlu bagi mastikan mangsa banjir mendapat keperluan asas serta bekalan makanan yang secukupnya," ujarnya.


Beliau berkata demikian kepada wartawan Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) selepas membuat penghantaran bekalan ke Kampung Peneh dan Kampung Lubuk Periuk, semalam.

Tambah Norazmy, dengan kekuatan jentera seramai 28 orang, pihaknya akan memastikan 99 Pusat Pemindahan Sementara (PPS), 50 Pengkalan Hadapan dan empat mini depoh yang terdapat di Hulu Terengganu sentiasa mempunyai bekalan yang secukupnya.

Dalam perkembangan semasa,  menerusi Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), lebih banyak PPS dibuka sehingga jam lapan pagi ini menjadikan jumlah keseluruhan pusat pemindahan banjir (PPS) sebanyak 28 buah melibatkan 564 keluarga dengan 1713 mangsa.






Sumber: teganukita.net