Lepasan Pelajar Negeri Terengganu Perlu Bersama Kerajaan Negeri



Oleh : Rohayati Ripin

KUALA TERENGGANU, 21 Februari - Lepasan pelajar sekolah negeri Terengganu disarankan supaya tidak mengasingkan diri dari memberi sumbangan dalam pembangunan negeri Terengganu bagi mencapai mencapai status negeri maju, berkat dan sejahtera.

Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu, Dato'  Yahaya Ali berkata, sudah tiba masanya untuk tidak menyisihkan diri dan memberi sumbangan kepada negeri tercinta.

"Kita tak boleh hanya sekadar mempunyai karier sendiri yang hebat tetapi mengambil sikap pentingkan diri sendiri.

"Kita ada tanggungjawab yang mesti ditunaikan bukan sekadar kepada diri dan keluarga tetapi kita juga  bertanggungjawab kepada masyarakat dan negara," jelasnya.



Beliau berkata demikian ketika merasmikan program Tautan Ukhuwah SESMA '76' di Hotel Paya Bunga Square, pada semalam.

Majlis yang santai dan meriah ini dihadiri oleh hampir 80 orang bekas pelajar tahun 1976 juga berjaya menemukan kembali sebahagian dari mereka terpisah sejak 44 tahun yang lalu.

Turut hadir, bekas Pengetua pada waktu itu iaitu Dato' Haji Mohamad Mustafa yang pernah menjadi Pengarah Pendidikan Negeri Terengganu.



Dato' Yahaya yang juga pelajar lepasan sekolah ini menegaskan bahawa Sekolah Menengah Sains Sultan Mahmud (SESMA) berjaya melahirkan ramai golongan profesional yang hebat dalam perkhidmatan awam, swasta, politik serta ahli-ahli perniagaan pelbagai sektor.

"YAB Menteri Besar yang juga dari sekolah kita sentiasa mengambil sikap terbuka dan memberi komitmen bahawa semua pihak adalah pemegang taruh (stake holder) kepada kemajuan dan pembangunan negeri ini.

"Apatah lagi dari golongan profesional seperti  kita ini yang boleh beri sumbangan kepada pembangunan negeri kita tanpa mengira latar belakang," ujar beliau.

Justeru itu, beliau berharap agar tidak ada pihak yang ketinggalan untuk memberi idea dan sumbangan dalam proses pembangunan negeri Terengganu.

"Saya yakin bahawa kita semua mempunyai sikap optimis kepada  masa depan dalam membina kehidupan diri dan masyarakat. Tetapi semuanya itu mesti ada sikap pergantungan kepada Allah SWT," tambahnya.



Sumber: teganukita.net