Tanggungjawab Abang Kepada Adik Perempuannya Sebagai Wali

Posted on Friday, February 07, 2020 | 2/07/2020



SOALAN:
Saya mempunyai adik perempuan yang sudah bekerja dan tinggal berasingan berumur awal 30-an dan kami baru kematian bapa. Sejauh manakah tanggungjawab abang sebagai wali terhadap adik perempuannya jika kematian bapa dan sehingga bila?

JAWAPAN:
Wali merupakan seorang yang diberikan wilayah (ولاية) iaitu kekuasaan ke atas orang lain. Menurut sebahagian ulama’, wilayah juga bermaksud pelaksanaan kuasanya atau pengawasan ke atas orang lain sama ada orang itu suka atau tidak. Ini juga definisi wali mujbir. Wilayah terbahagi kepada dua iaitu wilayah ke atas diri (الولاية على النفس) dan wilayah ke atas harta (الولاية على المال). [Lihat: al-Fiqh al-Manhaji 4/61]

Wilayah ke atas Harta

Wilayah atas harta orang lain bermaksud menjaga dan menguruskan harta benda orang lain yang tidak mampu menguruskannnya dengan baik. Perkara ini merupakan tanggungjawab seorang ayah yang berkeahlian, adil dan tidak membazir sebagai wali kepada harta anak-anaknya lelaki dan perempuan yang belum baligh. Para fuqaha' berbeza pendapat tentang wali kepada harta anak-anak yatim yang kematian ayah.

Turutan wali ke atas harta menurut ulama’ Syafieyah ialah bahawa wali ini dipegang oleh ayah, kemudian datuk, kemudian pemegang amanah kedua-duanya, kemudian qadhi dan sesiapa yang setaraf dengannya.

Berlaku perbezaan pendapat dalam kalangan para ulama’ ialah berkaitan mengutamakan datuk dalam tertib wali ke atas harta sebelum pemegang amanah bapa. Hal ini diperjelaskan bahawa datuk seperti seorang ayah dari sudut belas kasihannya terhadap anak tersebut.

Tiada khilaf dalam kalangan fuqaha’ bahawa hak wali ini tidak diberikan kepada abang (saudara kandung), pakcik atau ibu melainkan sekiranya mereka dilantik sebagai pemegang amanah kepada ayah atau qadhi.

Firman Allah SWT:

وَابْتَلُوا الْيَتَامَىٰ حَتَّىٰ إِذَا بَلَغُوا النِّكَاحَ فَإِنْ آنَسْتُم مِّنْهُمْ رُشْدًا فَادْفَعُوا إِلَيْهِمْ أَمْوَالَهُمْ
“Dan ujilah anak-anak yatim itu (sebelum baligh) sehingga mereka cukup umur (dewasa). Kemudian jika kamu nampak dari keadaan mereka (tanda-tanda yang menunjukkan bahawa mereka) telah cerdik dan berkebolehan menjaga hartanya, maka serahkanlah kepada mereka hartanya.” (Surah al-Nisaa’: 6)

Berdasarkan firman Allah SWT di atas, hak wali ke atas harta anak-anak kecil berterusan sehingga anak tersebut mencapai umur baligh yang mana dia cerdik dalam menguruskan hartanya sendiri dengan baik. [Lihat: al-Fiqh al-Islami wa Adillatuh 10/7331]

Wilayah ke atas Diri

Wilayah atas diri individu bertujuan dalam mendidik, menjaga dan mengawasi, memberikan kelengkapan dari sudut pendidikan dan kesihatan serta dalam urusan perkahwinan.

Para fuqaha’ menyatakan bahawa sebab-sebab wilayah ke atas diri individu ialah masih kecil (belum baligh), tidak berakal (gila) dan seorang perempuan. [Lihat: al-Fiqh al-Islami wa Adillatuh 45/165]

Hak kekuasaan wali ke atas diri individu berakhir apabila hilang sebab-sebabnya contohnya penguasaan wali ke atas kanak-kanak berakhir apabila mereka mencapai umur baligh. Namun begitu kanak-kanak perempuan hak wali ke atasnya berterusan sehingga dia berkahwin.

Menurut ulama’ Syafieyah, tertib wali ke atas diri individu bermula dengan ayah, kemudian datuk dan ayah kepada datuk (moyang), kemudian saudara lelaki kandung atau sebapa, kemudian anak lelaki kepada sauadara lelaki kandung atau sebapa, kemudian pakcik dari sebelah bapa, kemudian anak lelaki kepada pakcik dari sebelah bapa, kemudian ‘asobah yang lainnya menurut turutan pewarisan. [Lihat: Mughni al-Muhtaj 4/249]

Maka, sekiranya seorang wanita iu tidak mempunyai ayah atau datuk, hak wali dipegang oleh saudara lelaki seibu sebapa atau sebapa sama ada abang atau adik.

Kesimpulan

Secara tuntasnya, dalam wilayah ke atas diri individu, seorang anak yang kematian ayah akan berpindah hak wali kepada wali yang lain mengikut tertib sehingga anak tersebut mencapai umur baligh. Namun begitu, hak wali ke atas seorang wanita berterusan sehingga wanita itu berkahwin. Sekiranya seorang abang menjadi wali, dia perlu mengawasi dan menjaga adik perempuannya daripada sebarang keburukan atau musibah seperti tidak membiarkan dia tinggal berseorangan melainkan sudah diyakini tempat tersebut aman, atau memastikan pergaulannya terbatas serta mematuhi syarak dan sebagainya.

Firman Allah SWT:

يَاأَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا قُوا أَنْفُسَكُمْ وَأَهْلِيكُمْ نَارًا وَقُودُهَا النَّاسُ وَالْحِجَارَةُ عَلَيْهَا مَلَائِكَةٌ غِلَاظٌ شِدَادٌ لَا يَعْصُونَ اللَّهَ مَا أَمَرَهُمْ وَيَفْعَلُونَ مَا يُؤْمَرُونَ
“Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari neraka yang bahan-bahan bakarannya manusia dan batu (berhala); neraka itu dijaga dan dikawal oleh Malaikat-Malaikat yang keras kasar (layanannya); mereka tidak menderhaka kepada Allah dalam segala yang diperintahkan-Nya kepada mereka, dan mereka pula tetap melakukan segala yang diperintahkan.” (Surah al-Tahrim: 6)

Selain itu, seorang abang tidak diwajibkan memberi nafkah kepada adik perempuannya yang mempunyai pekerjaan dan mampu menyara dirinya sendiri. Dan juga wali tidak mempunyai hak dalam menguruskan harta orang di bawah jagaannya yang sudah baligh. Walau bagaimanapun, seorang abang perlu memastikan adik perempuannya mempunyai keperluan dan tempat tinggal yang baik dan selesa. Islam menuntut umatnya berbuat kebaikan sesama saudaranya lebih-lebih lagi kaum kerabat yang tidak berkemampuan.

Semoga Allah SWT sentiasa memberikan kita kebaikan dan kefahaman yang sahih dalam urusan kehidupan kita. Wallahua’lam.

Oleh: Ustaz Dr. Zulkifli Mohamad Al Bakri | Mufti Wilayah Persekutuan
+ Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media
Sumber: Oh! Media
Blog, Updated at: 2/07/2020

0 comments:

Loading...