Tepuh Sumbang RM10,000 Untuk Terengganu For Yemen

Posted on Sunday, February 23, 2020 | 2/23/2020




Oleh : Mohd Zukilfi Mat

KUALA NERUS, 23 Februari - Dewan Undangan Negeri (DUN) Tepuh berjaya mengumpulkan RM10,000 untuk Tabung 'Terengganu for Yemen' sebagai tanda solidariti atas penderitaan yang ditanggung saudara di Yaman.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tepuh, Hishamuddin Abdul Karim berkata, Yaman yang tersepit dalam krisis perang sejak bertahun lalu menarik perhatian ramai pihak termasuk masyarakat.

Oleh itu katanya, inisiatif mengumpul sumbangan orang ramai diambil selepas menyedari masalah berkenaan semakin berpanjangan sehingga mengakibatkan jutaan rakyat negara itu hidup dalam kebuluran.

"Bagi menzahirkan sokongan terhadap kempen yang sedang dijalankan oleh kerajaan negeri, pihak DUN Tepoh turut menyumbang wang sebanyak RM10,000 hasil kutipan yang dilakukan.

"Ia bagi mencapai sasaran kutipan sebanyak RM1.6 juta yang akan dihantar melalui rombongan kerajaan negeri pada 7 Mac depan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika  merasmikan dan melancarkan 'Tabung Terengganu For Yemen' peringkat DUN di Dewan Serbaguna Tepuh semalam.

Ujarnya, Terengganu mengambil tanggungjawab atas dasar persaudaraan untuk menghulurkan sumbangan kepada mereka yang kini sedang terhimpit.

"Kesengsaraan yang menimpa penduduk yaman menjentik nurani halus umat  Islam, ketika kesengsaraan yang tertanggung mereka kurang diberi tumpuan masyarakat dunia.

"Selain kebuluran, mereka juga diuji dengan pelbagai penyakit akibat daripada krisis persaudaraan yang mencetuskan peperangan," tambahnya lagi.

Dalam masa yang sama, beliau turut menyeru masyarakat untuk terus menyumbang kepada tabung ini.

Sumber: teganukita.net
Blog, Updated at: 2/23/2020

0 comments:

Loading...