COVID-19 : MB, Exco Terengganu Potong Gaji

Ahmad Samsuri.

KUALA TERENGGANU, 28 Mac - Gaji Menteri Besar dan barisan Exco Kerajaan Terengganu akan dipotong sebanyak 50 peratus selama dua bulan untuk dimasukkan ke dalam Tabung Bantuan COVID-19 negeri berkenaan.

Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, ia bagi membantu rakyat Terengganu yang terjejas akibat wabak pandemik tersebut.

Ujarnya, pihaknya akan melancarkan Tabung Bantuan tersebut dalam masa terdekat bagi mengelakkan kehidupan rakyat terus terbeban.

"Sebagai sumbangan permulaan, saya dan semua Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Terengganu (Exco) akan membuat pemotongan 50 peratus daripada dua bulan gaji untuk tabung berkenaan.

"Inisiatif ini diambil kerana menyedari tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilanjutkan memberi impak yang lebih besar kepada sosioekonomi dan rakyat negeri ini," katanya dalam satu kenyataan semalam.

Tambah beliau, penubuhan tabung itu juga membuka peluang kepada semua rakyat yang berkemampuan, penderma korporat dan syarikat swasta untuk menyumbang.

"Saya merayu dan berbesar hati supaya semua pihak dapat memberikan sumbangan bagi menunjukkan semangat kesatuan dan kecaknaan kita bersama.

"Semoga dengan sedekah dan sumbangan, mereka-mereka yang ikhlas menderma akan diberikan ganjaran oleh Allah S.W.T," jelasnya.

Ujarnya, orang ramai yang mahu menyumbang boleh berbuat demikian melalui Akaun Bank Islam Malaysia Berhad bernombor 13017010034566 atas nama Tetuan Akauntan Negeri Terengganu.

"Setiap sumbangan layak mendapat potongan cukai mengikut garis panduan yang dikeluarkan oleh pihak Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN)," katanya lagi.

Sebarang pertanyaan lanjut boleh hubungi Sekretariat Tabung Darul Iman di talian 09-6233535 atau layari http://stdi.terengganu.gov.my.



Sumber: teganukita.net