Covid-19 : Perintah Kawalan Pergerakan Di Terengganu

Posted on Tuesday, March 17, 2020 | 3/17/2020





KUALA TERENGGANU, 17 Mac-Kerajaan Negeri Terengganu mengambil maklum tentang pengumuman Perintah Kawalan Pergerakan dalam Perutusan Khas oleh Perdana Menteri Malaysia, YAB Tan Sri Dato’ Haji Muhyiddin bin Haji Mohd Yassin semalam.

Setelah mendapat titah perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Terengganu, Al-Wathiqu Billah Sultan Mizan Zainal Abidin Ibni Almarhum Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah dan pandangan Jawatankuasa Fatwa Negeri Terengganu, maka saya mengumumkan bahawa aktiviti-aktiviti keagamaan di Negeri Terengganu mesti menepati keputusan Mesyuarat Khas Jawatankuasa Fatwa Negeri Terengganu Kali Ketiga Penggal Ketiga Belas yang bersidang pada 17 Mac 2020.

Berkaitan dengan pentadbiran, Kerajaan Negeri Terengganu menerima pakai Perintah Kawalan Pergerakan bermula 18 hingga 31 Mac 2020 seperti yang terkandung di dalam Perutusan Khas YAB Perdana Menteri mengenai Covid-19.

Ketua Setiausaha Negara membenarkan semua penjawat awam untuk meneruskan tugas dan kekal berada di rumah.

Walau bagaimanapun, bagi perkara yang melibatkan perkhidmatan penting negeri (essential services), ketua jabatan boleh mengarahkan pegawai terlibat menyelesaikan proses-proses mengikut keperluan semasa.

Saya menyeru kepada semua rakyat Terengganu untuk memanfaatkan tempoh ini, ambil kesempatan untuk meluangkan masa berkualiti bersama keluarga di rumah dan keluar apabila ada keperluan sahaja. Tidak perlu keluar secara beramai-ramai.

Sila patuhi arahan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa dan amalkan langkah pencegahan seperti saranan Kementerian Kesihatan Malaysia sepanjang masa. Pencegahan wabak ini perlu bermula daripada diri sendiri. Jika kita menjaga diri sendiri, maka kita juga menjaga orang lain.

Sebarang pertanyaan, sila hubungi Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu melalui talian 09-6229775 atau 09-6353752 pada jam 8.00 pagi hingga 5.00 petang (hari bekerja) dan 9.00 pagi hingga 3.30 petang (hari minggu dan cuti umum).

Akhirnya, marilah kita bermunajat dan bermohon kepada Allah S.W.T agar segala musibah yang menimpa negara kita akan segera pulih dengan izin-Nya.






Sumber: teganukita.net
Blog, Updated at: 3/17/2020

0 comments:

Loading...