COVID-19:Terengganu Wujud Bazar Ramadan Online

Posted on Monday, March 30, 2020 | 3/30/2020




KUALA TERENGGANU, 30 Mac- Kerajaan negeri melalui Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) Negeri Terengganu akan menyediakan satu platform perniagaan online atau secara atas talian kepada peniaga Bazar Ramadan tahun ini.

Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Keusahawanan, Industrial Mikro Dan Hal Ehwal Penjaja Negeri, Mohd Nurkhuzaini Abdul Rahman berkata, langkah tersebut diambil selari dengan larangan pembukaan Bazar Ramadan di seluruh negeri ini dalam usaha mengekang penularan COVID-19.

Katanya, aplikasi  bagi membantu peniaga Bazar Ramadan memasarkan produk mereka secara atas talian itu akan dilancarkan pada minggu kedua April ini yang dimonitor terus oleh YPU.

"Kesemua 32 Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) pula akan menjadi admin kepada Bazar Ramadan Online ini di tempat masing-masing," ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika mengadakan sidang media di Studio TV Darul Iman di Pejabat Urus Setia Penerangan Darul Iman, hari ini.

Katanya, sebelum pelaksanaan aplikasi berkenaan pada Ramadan nanti, pihaknya akan memberi penerangan kepada wakil setiap Pusat Khidmat DUN di seluruh Daerah negeri ini.

"Terpulang kepada Pusat Khidmat DUN untuk wujudkan berapa banyak Bazar Ramadan Online ini, bagaimanapun ianya biarlah praktikal.

"Peniaga boleh berdaftar dengan sistem ini dan segala urusan jual beli adalah menerusi e-wallet untuk memudahkan peniaga dan pembeli," ujarnya.

Sementara itu, Mohd Nurkhuzaini berkata, Kerajaan negeri turut memperuntukkan sebanyak RM4 juta untuk Tabung Pemulihan Perusahaan Kecil Dan Sederhana (PKS) Negeri Terengganu sebagai inisiatif membantu peniaga yang terjejas teruk disebabkan Perintah Kawalan Pergerakkan yang dilaksanakan kerajaan.

"Mereka boleh memohon pinjaman tanpa riba menerusi tabung ini yang dikelolakan oleh YPU,"ujarnya.





Sumber: teganukita.net
Blog, Updated at: 3/30/2020

0 comments:

Loading...