PAS Tegas Lantik Ahli Kabinet Berintegriti - Abdul Hadi

Posted on Friday, March 06, 2020 | 3/06/2020



Presiden PAS, Abdul Hadi Awang.

Oleh : Hidayah Azlin

MARANG, 6 Mac – PAS mengulangi ketegasan supaya Perdana Menteri melantik barisan Jemaah Menteri yang terdiri daripada kalangan berintegriti, berkelayakan, berkemahiran dan mewakili masyarakat majmuk.

Ahli Parlimen Marang, Dato' Seri Abdul Hadi Awang menegaskan, cadangan yang dikemukakan kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin itu perlu dijayakan supaya negara berada di landasan terbaik setelah kemelut politik berakhir.

"Saya tegas dalam pertemuan dengan  Perdana Menteri semalam, PAS istiqamah, konsisten dengan pendirian kita memilih anggota kabinet yang punyai integriti, yang bersih, berkepakaran, kalangan ahli politik dan kalangan profesional kerana kita mahu menyelamatkan negara," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Rusila hari ini.

Mengulas tentang kes pemimpin tertentu yang sedang dibicarakan di mahkamah, beliau berkata, kerajaan baharu tidak akan mencampuri urusan terbabit.

Sebaliknya, ia diserahkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa termasuk badan kehakiman untuk menjalankan proses pengadilan.
Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar turut hadir.

"Kita juga berharap agar semua pihak menghormati proses kehakiman. Jangan kita jadikan media sosial (sebagai) keputusan mahkamah. Itu tidak boleh, biar mahkamah buat keputusan.

"Mengikut konsep kehakiman Islam, orang yang dituduh belum didapati bersalah lagi kecuali sudah dibuktikan di mahkamah.

"Kita mengambil kira keputusan mahkamah. Berbeza dengan Pakatan Harapan (PH), tengah perbicaraan pun dia hentikan kerana ada orang tertentu yang ada kes ini termasuklah yang diletak di bawah karpet.  Kita tahu, kes-kes besar dia letak bawah karpet," ujarnya.

Dalam masa yang sama, Abdul Hadi mahu kerajaan baharu meneruskan segala agenda yang memberi manfaat kepada rakyat.

"Apa yang baik dari kerajaan dulu kita teruskan. Sebarang janji mustahil, kita tak boleh buat. Janji dia yang elok kita akan buat, walaupun PH dah jatuh.

"Termasuklah juga janji kita sendiri. Ada perkara yang sama,ada yang berbeza. Ia akan dilihat," tambah beliau.

Sumber: teganukita.net
Blog, Updated at: 3/06/2020

0 comments:

Loading...