Persidangan DIGIT2020 Ditangguhkan Cegah Penularan COVID-19


KUALA TERENGGANU, 13 Mac - Program Conference On Digital And Intelligence Technology 2020 (DIGIT2020) yang akan berlangsung pada 17 sehingga 19 Mac ini di Taman Tamadun Islam (TTI), Kuala Terengganu terpaksa ditangguhkan sebagai langkah awal mencegah penularan COVID-19.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat negeri, Ariffin Deraman dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan hari ini memaklumkan, penangguhan ini susulan arahan daripada Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu melalui edaran surat Tindakan Menangani Penyakit Coronavirus 2019 (COVID-19) di Negeri Terengganu bertarikh 12 Mac 2020.

Kerajaan negeri telah memutuskan mana-mana perhimpunan/ program yang melibatkan lebih dari 100 orang peserta, hendaklah di tangguhkan.

Sehubungan itu, beliau mewakili kerajaan negeri memohon maaf atas segala kesulitan yang berlaku dan akan memaklumkan perkembangan program tersebut dari masa ke masa.

Dalam sidang media DIGIT2020 di Wisma Darul Iman semalam, Ariffin menyatakan telah mengambil pendekatan terbaik sebagai langkah pencegahan wabak itu.

"Sebenarnya, kami bercadang mengadakan persidangan ini di peringkat antarabangsa dengan penglibatan pelbagai pihak.

"Namun, kita mengambil langkah berjaga-jaga dengan menumpukan penyertaan daripada peringkat domestik sahaja dan mengutamakan kehadiran daripada Koridor Timur iaitu Terengganu, Kelantan dan Pahang," katanya,

Bagaimanapun, berikutan pengisytiharan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) bahawa COVID-19 dan menegaskan penularan dan keadaan wabak tersebut sangat membimbangkan, beliau akur dengan langkah penangguhan yang diambil kerajaan negeri sebagai tindakan terbaik kepada seluruh rakyat Terengganu.




Sumber: teganukita.net