SMK Cherul Cipta Kejutan SPM Terengganu

Posted on Thursday, March 05, 2020 | 3/05/2020


Salim Ab Ghani turut zahirkan kegembiraan atas kejayaan SMK Cherul.
KUALA NERUS, 5 Mac - Sekolah Menengah Kebangsaan Cherul, Kemaman membuat kejutan apabila dipilih sebagai sekolah yang mendominasi Peningkatan Gred Purata Sekolah (GPS) dan Peningkatan Semua A Terbaik dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2019 bagi seluruh negeri Terengganu.

Pengarah Pendidikan Negeri, Salim Ab. Ghani turut melahirkan kegembiraan atas pencapaian tersebut dan menyifatkan ia sebagai sesuatu yang perlu dibanggakan.

"Kita agak teruja apabila SMK Cherul; sebuah sekolah pedalaman yang terletak di kawasan Felda di Kemaman yang mempunyai hanya 22 calon sahaja, boleh mengetengahkan tiga calon 'straight A' yang belum  pernah mereka capai sebelum ini.

"Sekolah ini mencapai 13.64 peratus GPS yang merupakan peningkatan paling tinggi dalam negeri dan kita nobatkan sebagai sekolah yang menerima Peningkatan Semua A Terbaik," katanya.

Salim menyampaikan sijil peghargaan kepada bapa Mohamad Shafiq Akram Shafee, pelajar terbaik negeri Terengganu.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas pengumuman keputusan SPM 2019 di Sekolah Menengah (SM) Sains Sultan Mahmud, hari ini.

Tambahnya, sekolah berkenaan turut menerima penghargaan Peningkatan GPS Terbaik dengan peningkatan kepada 4.21 GPS berbanding 5.65 pada tahun 2018.

Selain itu, sebanyak sembilan buah sekolah dipilih sebagai Sekolah Cemerlang SPM 2019 iaitu SM Sains Sultan Mahmud, SM Imtiaz Kuala Terengganu, SM Sains Kuala Terengganu, SM Imtiaz Besut, SM Imtiaz Kemaman, Sekolah Berasrama Penuh (SBP) Intrgrasi Batu Rakit, SM Sians Dungun, SM Kebangsaan Agama Durian Guling dan SM Sains Hulu Terengganu.

Daripada kesembilan sekolah terbabit, sebanyak lima sekolah Lulus Semua Mata Pelajaran 100 Peratus iaitu SM Sultan Mahmud, SM Imtiaz Kuala Terengganu, SM Sains Kuala Terengganu, SBP Integrasi Batu Rakit dan SM Sains Dungun.







Sumber: teganukita.net
Blog, Updated at: 3/05/2020

0 comments:

Loading...