Terengganu Sambut Baik Penjenamaan Semula Beberapa Kementerian

Azman Ibrahim.
Oleh : Hidayah Azlin

SETIU, 11 Mac – Terengganu menyambut baik penjenamaan semula beberapa kementerian setelah perubahan barisan Kabinet Menteri yang baharu dilantik di bawah pentadbiran Perikatan Nasional.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani Dan Pembangunan Desa negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, amat menarik apabila Bahagian Industri Asas Tani dijenamakan sebagai Kementerian Pertanian dan Industri Makanan selaras dengan fungsi utamanya untuk jaminan makanan (food security) bagi negara Malaysia.

"Kerja utama kita ialah mencukupkan bekalan makanan negara sehingga paling minima mencapai tahap ‘Self Sufficient Level’ (SSL),’’ katanya dalam satu kenyataan semalam.

Tambah beliau, berbilion wang negara mengalir keluar setiap tahun bagi tujuan pengimportan bahan makanan di negara kita.

"Sedangkan Allah mengurniakan kepada kita bumi yang subur, sungai yang mengalir, pantai yang panjang dan pelbagai lagi sumber yang boleh dimanfaatkan," ujarnya.

Dalam pada itu, beliau turut menzahirkan rasa syukur dan berterima kasih Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin kerana mengembalikan semula kepimpinan Kementerian Perusahaan, Perladangan dan Komoditi kepada orang Melayu.

"Sebelum ini dikenali sebagai Kementerian Industri Utama yang dipimpin Menteri DAP yang berasal dari kota raya.

"Inilah kementerian yang menjaga kepentingan majoriti orang Melayu yang mengusahakan kebun getah, sawit, kenaf, lada hitam dan lain-lain lagi di kampung serta desa. Cabaran besar menunggu Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi, Dr Khairuddin Aman Razali dan pasukan.

"Hampir dua tahun bekerja di sektor ini, tentunya ada banyak perkara yang telah kami dilalui. InsyaAllah, saya akan menyusun kunjungan hormat segera kepada  Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Dato' Ronald Kiandee berserta Timbalan-timbalan beliau bagi mengadakan perbincangan dua hala," jelasnya.



Sumber: teganukita.net