Ahli Parlimen Dan Empat Adun Sepakat Agih Kurma Di Hulu Terengganu

Posted on Thursday, April 23, 2020 | 4/23/2020




HULU TERENGGANU, 23 April - Buat pertama kali, Ahli Parlimen dan empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di kawasan Parlimen Hulu Terengganu menggunakan resepi terbaik dalam pengagihan kurma sempena bulan Ramadan apabila bekerjasama menyumbangkan lebih 23,000 pek kurma untuk penduduk dan petugas barisan hadapan.

Ahli Parlimen Hulu Terengganu, Dato’ Rosol Wahid merangkap Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna berkata sumbangan pek kurma itu sudah mula diagihkan secara berperingkat kepada 23,000 kediaman dan petugas barisan hadapan di Hulu Terengganu antaranya petugas kesihatan, polis dan tentera.

Katanya, beliau bersama empat lagi ADUN dalam Parlimen Hulu Terengganu bekerjasama menyumbangkan pek kurma itu bagi mengimarahkan lagi kedatangan Ramadan yang disambut sederhana berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi membendung penularan wabak COVID-19.

“Sebagaimana yang diketahui, tahun ini menjadi satu sejarah bagi kita kerana bukan sahaja Malaysia, tetapi seluruh dunia juga terkesan dengan pandemik wabak COVID-19 ini.

“Walaupun kita tidak dapat menunaikan solat Tarawih berjemaah di surau atau masjid mahupun berkumpul bersama ibu bapa dan keluarga tercinta untuk menyambut Ramadan, janganlah disia-siakan kesempatan yang ada untuk kita memperbanyakkan amal ibadat.

“Paling penting, teruslah memanjatkan doa supaya pandemik COVID-19 ini segera berakhir dan kita dapat kembali kepada kehidupan normal seperti biasa,”katanya selepas majlis pelancaran agihan pek kurma itu di Pejabat Daerah Hulu Terengganu, hari ini.

Turut hadir, ADUN Telemong,
Dato’ Rozi Mamat; ADUN Kuala Berang, Dr Mamad Puteh; ADUN Ajil, Maliaman Kassim; ADUN Manir, Hilmi Harun dan Penyelaras Parlimen Hulu Terengganu, Muhyidin Abdul Rashid.

Rosol berkata, walaupun Malaysia semakin hampir dengan kemenangan untuk memutuskan rantaian penularan COVID-19 dan pihaknya berharap seluruh rakyat terus patuh kepada arahan kerajaan untuk kekal duduk di rumah, menjaga penjarakan sosial sekiranya perlu keluar untuk urusan penting serta jaga kebersihan diri dan mengenakan topeng muka jika keluar rumah bagi mengelak sebarang risiko jangkitan.

“Semoga kedatangan bulan mulia yang disambut serba sederhana dengan kebiasaan baharu (new normal) pada kali ini membawa seribu rahmat dan hikmah buat kita semua,” katanya.

Tambahnya lagi, walaupun umat Islam di seluruh negara terpaksa meraikan kedatangan Ramadan dengan penuh sederhana dan terikat dengan PKP, beliau berharap bulan mulia ini dapat diimarahkan dengan aktiviti keagamaan di kediaman masing-masing.




Sumber: teganukita.net
Blog, Updated at: 4/23/2020

0 comments:

Loading...