Bantuan Tetap Disalur Walau Berbeza Fahaman Politik- Hanafiah Mat

Hanafiah Mat (kanan) menghulurkan sumbangan kepada rakyat memerlukan.


Oleh : Ahmad Ezani Razali

KEMAMAN, 15 April - Perbezaan fahaman politik tidak menjadi penghalang untuk kerajaan negeri menghulurkan bantuan kepada seluruh rakyat di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat berkata semua rakyat yang layak telah menerima bantuan sama ada berbentuk wang tunai dan pelbagai barangan dapur.

"Bantuan sentiasa disalurkan tanpa mengira ideologi serta fahaman politik mereka. Itu yang saya sentiasa ingatkan kepada semua petugas Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) ketika mahu mengagihkan sumbangan," ujarnya.

Tambahnya lagi, ketika wabak COVID-19 sedang melanda di negara ini, kita seharusnya lebih menumpukan pada kebajikan rakyat.

"Kita ingin memastikan nasib rakyat ketika ini terjaga. Setiap aduan yang diterima, saya akan rujuk kepada MPKK.

"Jika benar mereka layak dan masih belum menerima bantuan, saya akan segera mengarahkan kepada MPKK untuk menyalurkan bantuan tersebut," katanya.


Beliau berkata demikian selepas menyampaikan sumbangan kepada penduduk di Flat Desa Keluarga Kemaman, Kampung Fikri, kelmarin.

Dalam program tersebut, seramai 200 orang menerima bantuan yang menjadikan keseluruhan penduduk seramai 320 orang telah menerima bantuan di kawasan itu.

Tegas Hanafiah lagi, pengagihan keperluan harian kepada semua penduduk di flat tersebut membuktikan kerajaan negeri tidak memilih mengikut fahaman atau pendirian politik mereka.

"Lebih 5,000 orang daripada 30 kampung di DUN Chukai telah menerima bantuan. Usaha pengagihan diteruskan sehingga ke hari ini semenjak tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mula dikuatkuasakan.

"Bantuan ini juga akan diteruskan dari semasa ke semasa berpandukan kesesuaian situasi yang berlaku pada ketika ini," jelasnya.




Sumber: teganukita.net