COVID-19 : Semua Pasar Di Terengganu Ditutup 10 April Untuk Disinfeksi

Dr Alias.

KUALA TERENGGANU, 6 April - Pasar awam dan pasar borong di seluruh Terengganu akan ditutup pada 10 April ini bagi membolehkan operasi disinfeksi dijalankan.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr Alias Razak berkata, operasi terbabit akan dijalankan pihak berkuasa tempatan (PBT) dengan kerjasama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Terengganu.

"Jadi kita memohon supaya semua rakyat di negeri ini yang ingin membeli barang keperluan untuk membuat persiapan awal bagi mengelak sebarang kesulitan.

"Pada hari itu hampir kesemua pasar akan ditutup bagi membolehkan proses disinfeksi atau nyahcemar dijalankan," katanya ketika dihubungi media hari ini.

Mengulas lanjut, Dr Alias memaklumkan tarikh berkenaan dipilih kerana trend pembelian masyarakat yang tinggi pada hari Jumaat.

"Pemerhatian dalam tempoh tiga minggu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan, masyarakat di Terengganu gemar keluar beramai-ramai untuk mencari keperluan pada hari Jumaat.

"Sehubungan dengan itu, hari itu dipilih bagi mengelak  individu yang ramai keluar dan berada di satu-satu lokasi dalam masa tersebut sekali gus dapat mengekang risiko penularan wabak COVID-19," katanya.

Katanya, beliau berharap rakyat Terengganu tidak berasa panik dengan perubahan itu kerana ia hanya bersifat sementara.

Antara pasar utama yang terlibat ialah Pasar Kedai Payang 2, Pasar Borong Gong Pauh, Pasar Cabang Tiga, Pasar Manir, Pasar Bukit Besar, Pasar Permint Jaya Chendering, Pasar Kampung Laut dan Pasar Kedai Buluh.

"Selain itu, Pasar Gelugor, Pasar Kepung, Pasar Bukit Tunggal, Pasar Batu Enam, Pasar Teluk Ketapang, Pasar Wakaf Tengah dan Pasar Maras yang berada di bawah Majlis Bandaraya Kuala Terengganu turut ditutup.

"Sebagai pemakluman juga semua pasar di bawah Majlis Daerah Kemaman, Dungun, Hulu Terengganu, Marang, Besut dan Setiu turut ditutup," tambah beliau.




Sumber: teganukita.net