COVID-19 : Tempoh Permohonan Anugerah Pingat Emas, Hadiah Kecemerlangan Terengganu Dilanjutkan

Satiful Bahari.
KUALA TERENGGANU, 3 April - Tempoh permohonan Anugerah Pingat Emas dan Hadiah Kecemerlangan untuk pelajar Sijil Pelajaran (SPM), Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) 2019 dilanjutkan ke 20 April ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi negeri, Satiful Bahari Mamat berkata, langkah itu diambil berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan kerajaan menghadkan aktiviti orang ramai.

"Permohonan untuk pelajar yang layak masih lagi dibuka dan dilanjutkan supaya setiap pelajar cemerlang mempunyai masa untuk melengkapkan sebarang dokumen.

"Kita juga tidak mahu ada pelajar yang layak tercicir ekoran PKP yang membataskan pergerakan mereka," katanya ketika dihubungi media hari ini.

Sementara itu, ekoran wabak COVID-19, Pengarah Yayasan Terengganu, Ishamuddin Hashim memaklumkan, insentif Anugerah Sarjana Terengganu untuk 204 graduan Terengganu yang cemerlang di peringkat Ijazah Sarjana Muda (sepenuh masa) dengan keputusan Kepujian Kelas Pertama telah selesai dibayar secara atas talian pada 23 Mac lalu.

"Iaitu mereka dengan Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) 3.75 atau 80 peratus ke atas daripada keseluruhan peperiksaan tanpa mengira bidang  pengajian dari dalam dan luar negara," ujarnya.

Katanya lagi, insentif bernilai RM4,000 diberikan kepada 26 graduan Bidang Ikhtisas seperti bidang Kejuruteraan, Perubatan, Perakaunan dan lain-lain.

Manakala 178 graduan Bidang Bukan Ikhtisas seperti bidang Pendidikan, Pengajian Islam, Bahasa dan lain-lain pula diberikan insentif sebanyak RM2,000.

"Ia menjadikan jumlah keseluruhan yang kita peruntukan untuk graduan kelas pertama ijazah Sarjana Muda 2019 adalah RM460,000," tambah beliau.

Sumber: teganukita.net