Marang Diisytihar Zon Hijau Covid-19


Oleh: Aslam Wira

MARANG, 20 April – Marang  diisytiharkan sebagai Zon Hijau bagi wabak COVID-19 oleh Majlis Keselamatan Negara kerana tidak ada kes yang aktif dalam tempoh 14 hari.

Pegawai Daerah Marang, Tun Ahmad Faisal Tun Razak berkata pengumuman ini sudah pasti mengembirakan kepada semua warga Marang lebih-lebih lagi dalam suasana akan menyambut kedatangan bulan Ramadhan Al-Mubarak.

Menurutnya lagi, kejayaan ini sudah pasti adalah hasil daripada komitmen dan usaha semua pihak dalam menangani isu ini, dan situasi ini harus dikekalkan untuk tempoh seterusnya.

“Semangat para Frontliners kita juga semakin meninggi untuk terus berjuang memerangi wabak ini sehingga ia berakhir.

“Walaubagaimana pun, peperangan ini masih belum selesai malah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tidak akan dilonggarkan sehingga seluruh negeri/negara turun ke kategori zon hijau," katanya dalam satu kenyataan di laman sosial facebook beliau hari ini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Marang, DSP Mohd Zaid Mat Dris ketika dihubungi turut mengucapkan terima kasih kepada semua Frontliner dan barisan hadapan yang bertungkus lumus dalam usaha menangani kes ini sejak bermulanya PKP fasa satu sehingga fasa ketiga.

“Tidak lupa juga kepada seluruh rakyat daerah Marang, yang mematuhi arahan dan nasihat pihak berkuasa serta mendoakan kesejahteraan kita semua sehingga kembali diisytiharkan sebagai zon hijau.

“Pihak berkuasa akan terus mempertingkatkan arahan PKP dengan demi memastikan penularan wabak ini terus dibendung pada masa yang akan datang,"ujarnya.

Sementara itu, jumlah keseluruhan yang telah dikuarantin di Pusat Kuarantin Marang iaitu Pusat Teknologi Pendidikan Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu Marang seramai 20 orang  dibenarkan pulang selepas disahkan tiada yang positif Covid19.

Sumber: teganukita.net