Penternak Akuakultur Terima 100 Kilogram Ikan Kecil

Dr Azman meninjau ternakan ikan sangkar.

Oleh : Hidayah Azlin

KUALA TERENGGANU, 30 April – Kerajaan Terengganu sedang giat mengagihkan 100 kilogram ikan kecil kepada semua penternak akuakultur bagi meringankan beban golongan terjejas itu dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, bantuan itu sebagai sumber makanan alternatif untuk ternakan ikan selain pellet.

"Setiap penternak akuakultur di seluruh negeri mendapat 100 kilogram ikan kecil. Manakala  pengusaha pusat asuhan kerapu hibrid di Kampung Air Tawar dan Kampung Keluang, Besut akan diagihkan bantuan dalam bentuk pellet.

"Alhamdulillah, semalam selesai agihan di Sungai Cawat, Kuala Besut. Hari ini kita sambung lagi agihan makanan ikan untuk penternak sangkar air payau di Kuala Nerus, Kuala Terengganu dan Marang.

"Insya-Allah akan disambung lagi bagi daerah-daerah lain sehingga kesemua 577 penternak akuakultur berdaftar sama ada ikan air payau atau air tawar, pengusaha sangkar, kolam dan pusat asuhan disantuni," ujarnya.


Beliau berkata demikian selepas menyampaikan bantuan makanan kepada penternak di sangkar ikan Kampung Pulau Ketam, di sini semalam.

Dalam pada itu, beliau berkata, berlaku sedikit kelewatan dalam urusan proses mendapatkan bekalan pellet.

"Kita pohon semua penternak ikan air tawar dan pengusaha pusat asuhan pembenihan bersabar menunggu giliran kerana proses untuk mendapatkan bekalan pellet melibatkan urusan tender yang mengambil sedikit masa.

"Kita selesaikan secara berperingkat. Semua 577 penternak ikan seluruh Terengganu akan dapat bantuan insya-Allah," tambah beliau.





Sumber: teganukita.net