UPSR Dan PT3 Tahun 2020 Dibatalkan

Foto Oleh:Google


KUALA LUMPUR, 15 April - Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memutuskan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) bagi tahun ini dibatalkan.

Menteri Kanan (Pendidikan), Dr Mohd Radzi Md Jidin, berkata pembatalan UPSR tidak akan menjejaskan penilaian terhadap tahap penguasaan murid, sama juga PT3.

"Memandangkan keputusan UPSR dijadikan satu daripada kriteria pemilihan untuk kemasukan ke sekolah berasrama penuh (SBP), Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA), Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) dan Maktab Tentera Diraja (MTD), KPM akan memperkenalkan kaedah baharu bagi tujuan ini yang tidak hanya tertumpu kepada prestasi akademik semata-mata.

"Pembatalan PT3 juga tidak akan menjejaskan penilaian tahap penguasaan murid di peringkat menengah rendah," katanya dalam sidang media khas di Putrajaya hari ini.

Menurutnya, datu kaedah baharu akan diperkenalkan dan keputusan yang diperoleh dari kaedah ini akan dijadikan satu daripada kriteria pemilihan untuk kemasukan ke sekolah-sekolah khusus seperti sekolah berasrama penuh dan sekolah teknik.

Justeru itu, keputusan ini akan terpakai kepada semua sekolah kerajaan, sekolah bantuan kerajaan, sekolah swasta dan mana-mana institusi pendidikan yang berdaftar dengan KPM.

"Sekolah yang tidak berdaftar dengan KPM juga disarankan untuk turut mengikuti keputusan ini," katanya.

Dalam masa yang sama, KPM turut menegaskan bahawa pembukaan semula sesi persekolahan selepas PKP adalah tertakluk kepada perkembangan semasa dan nasihat daripada KKM dan MKN.

"Sebarang perubahan akan dimaklumkan dari semasa ke semasa setelah mengambil kira faktor keselamatan dan kesihatan murid," ujar beliau.

Sumber: teganukita.net