100 Kakitangan Sokongan Wisma Darul Iman Terima Sumbangan

Posted on Wednesday, May 06, 2020 | 5/06/2020




KUALA TERENGGANU, 6 Mei - Seramai 100 orang pekerja kontrak kebersihan dan pengawal keselamatan daripada kumpulan sokongan Kompleks Wisma Darul Iman menerima sumbangan berbentuk barangan keperluan harian asas daripada Syarikat Muaz Maju Sdn Bhd.

Pengarah Urusan Muaz Maju Sdn Bhd, Mohd Azrul Dato' Seri Haji Zakaria berkata sumbangan  ini bagi meringankan beban dan menghargai jasa mereka yang bekerja semasa negara ini ditimpa wabak.

" Saya dan masyarakat sangat menghargai jasa dan sumbangan pekerja kontrak kebersihan dan pengawal keselamatan yang komited menjalankan tugas dalam tempoh wabak yang berlaku dan ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kerana ia merupakan satu tugas yang berisiko.

"Oleh itu, saya merasa terpanggil untuk memberikan sumbangan berbentuk barangan keperluan harian kepada mereka yang bertugas," ujarnya ketika dihubungi wartawan Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI), semalam.

Mohd Azrul 
Beliau turut berkata sumbangan ini juga bersempena Program CSR Covid-19 yang telah diteruskan di beberapa buah tempat sebelum ini.

" Program CSR yang dilaksanakan ini telah dibuat di beberapa buah tempat antaranya mengagihkan sumbangan kepada para petugas barisan hadapan seperti polis dan petugas kesihatan di hospital.

"Program ini juga bertujuan membantu pihak yang kurang berkemampuan dan juga merupakan rentetan siri bantuan yang diadakan pada bulan Ramadan," jelasnya.

Penyampaian sumbangan diserahkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Kemudahan Awam, Utiliti dan Teknologi Hijau, Dr Mamad Puteh di Kompleks Wisma Darul Iman baru-baru ini.

Dr Mamad berkata beliau sentiasa akan menyokong usaha baik mana-mana pihak tertentu dalam menyampaikan bantuan kepada mereka yang memerlukan.

"Saya mengucapkan jutaan terima kasih buat syarikat Muaz Maju Sdn Bhd yang menghargai jasa pekerja kontrak kebersihan dan pengawal keselamatan yang sedang bertugas ketika PKP sedang berlangsung," ujarnya.



Sumber: teganukita.net
Blog, Updated at: 5/06/2020

0 comments:

Loading...