COVID-19 : Sifar Kes Aktif, Terengganu Kini Negeri Zon Hijau

Posted on Friday, May 29, 2020 | 5/29/2020


Nor Azimi.

KUALA TERENGGANU, 29 Mei - Terengganu menjadi negeri terbaharu bebas daripada wabak COVID-19 dan dikategorikan sebagai negeri zon hijau pandemik terbabit.

Pengarah Kesihatan negeri, Dr Nor Azimi Yunus berkata, ia berikutan pesakit terakhir positif COVID-19 yang berumur 35 tahun sudah dibenarkan pulang kelmarin

"Pesakit dari Kemasik, Kemaman itu sebelum ini dimasukkan ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di Kuantan, Pahang pada 20 Mei lalu setelah dikesan positif.

"Alhamdulillah, kelmarin dia telah didiscaj dan tiada lagi kes aktif COVID-19 di Terengganu ketika ini namun saya harap kita semua tetap mengamalkan nasihat Kementerian Kesihatan Malaysia bagi mengelakkan wabak ini kembali menular.

"Setiap daripada kita mesti mengamalkan prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan kementerian dan kerajaan," katanya ketika dihubungi pemberita hari ini.

Untuk rekod, Terengganu antara negeri yang mencatatkan kes positif COVID-19 terendah dengan 111 kes termasuk satu kematian.

Kes tertinggi dengan 38 kes direkodkan di daerah Dungun, Besut 35 kes, 18 di Kuala Terengganu, lapan di Setiu, Kemaman enam, Kuala Nerus empat dan Marang dua.

Manakala, Hulu Terengganu kekal dengan sifar kes sejak wabak ini menular dalam masyarakat di Malaysia.







Sumber: teganukita.net
Blog, Updated at: 5/29/2020

0 comments:

Loading...