Kediaman Warga Emas Terbakar Dapat Perhatian MB Terengganu

Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar (dua dari kanan) meninjau keadaan rumah Kasa yang kebakaran lewat petang semalam.
Oleh: Ahmad Mawardi

KUALA TERENGGANU, 29 Mei - Nasib seorang warga emas yang kehilangan kediamannya dalam kebakaran di Kampung Beladau Kolam, Manir lewat petang semalam, mendapat perhatian Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

Mangsa, Kasa Mohd Yatim, 76, yang diwakili anaknya Mohd Zizi Abdullah, 45, menerima bantuan peribadi berupa sejumlah wang tunai yang disampaikan sendiri oleh Ahmad Samsuri.

Menurut Ahmad Samsuri, sumbangan itu adalah satu tanggungjawab sosial dan sebagai tanda prihatin kerajaan negeri kepada rakyat.


“Biarpun masih belum mencukupi untuk menampung jumlah diperlukan, sekurang-kurangnya sumbangan ini dapat memberikan semangat baharu kepada mangsa,” jelasnya kepada pemberita ketika menziarahi rumah mangsa di sini pagi tadi.

Beliau turut menasihati orang ramai supaya berhati-hati sepanjang musim perayaan ini bagi mengelakkan kejadian seumpama itu berulang.

Sementara itu, Pegawai Khas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Manir, Ustaz Shuqiman Tahar berkata, pembinaan rumah akan dilakukan secepat mungkin sebaik sahaja pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) selesai menjalankan siasatan.


“Agensi kerajaan negeri iaitu Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) dan Pusat Khidmat Masyarakat ADUN Manir bertanggungjawab membantu mendirikan kembali rumah yang musnah dalam kebakaran ini," katanya.

Dilaporkan semasa kejadian, tuan rumah, Kasa (Mek Kase) tiada di rumah dan berada di rumah anaknya di Kampung Pasir Tebakang. Tiada kemalangan jiwa dilaporkan dalam kebakaran tersebut.

Sumber: teganukita.net