Kerajaan PN Dapat Mandat Rakyat - Ahmad Amzad

Posted on Wednesday, May 13, 2020 | 5/13/2020


Amzad (tengah) bersama moderator, Amar Jaafar (kiri) dan Abdul Rahim (kanan).


KUALA TERENGGANU,13 Mei - Kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang dibentuk menerajui pemerintahan negara hari ini juga mendapat mandat rakyat.

Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Ahmad Amzad Hashim berkata kerajaan yang ada hari ini (Perikatan Nasional) wakil rakyatnya adalah mereka yang mendapat mandat rakyat.

Menurutnya, harapan rakyat umum pada pilihan raya lalu mahukan sebuah kerajaan yang mampu memulihkan ekonomi negara ke arah lebih baik.

“Saya jadi wakil rakyat ini juga dipilih oleh rakyat yang menang pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 yang lalu. Kita bentuk kerajaan (PN) pun terdiri daripada wakil-wakil rakyat yang dipilih oleh rakyat.

“Apa yang rakyat mahu pada masa pilihan raya yang lalu? Rakyat mahu harga minyak yang pada waktu itu dijanjikan RM1.50 satu liter. Ini gagal dilaksanakan oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH).

“Tapi, hari ini di bawah kerajaan PN, rakyat pergilah ke stesyen minyak mana-mana pun harga minyak RM1.25 satu liter,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam 'Bicara Wajarkah Usul Tidak Percaya Terhadap PM8' bersama Pengalisis Politik, Abdul Rahim Hilmi Zakariya di Urusetia Penerangan Darul Iman (UPDI) Kuala Terengganu semalam.

Ahmad Amzad yang juga Ahli Parlimen Kuala Terengganu menjelaskan, harapan rakyat ketika pertukaran kerajaan pada PRU-14 lalu adalah untuk melihat ekonomi menjadi lebih baik.

“Tetapi di bawah kerajaan Pakatan Harapan sebelum ini, kita lihat lebih kencang dari segi membuat pinjaman (luar), tidak cukup daripada China, (buat) ‘bon’ Samurai (Jepun) lagi.

“Rakyat mahu langkah-langkah yang boleh meringankan beban rakyat. Malangnya, rakyat tidak dapat melihat semua ini di bawah kerajaan PH selama 22 bulan yang lalu.

“Tiba-tiba di bawah kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang ada hari ini, dalam tempoh yang singkat sahaja, bukan 22 bulan tetapi baharu dua bulan lebih sikit. Kita telah menunjukkan bahawa Malaysia mampu untuk mempunyai sebuah kerajaan yang betul-betul menjaga kebajikan rakyat,” jelasnya.

Jelas Amzad, di bawah pentadbiran kerajaan PN ini rakyat seakan mendapat sinar baharu dengan lebih banyak mesej-mesej positif tentang keadaan dalam negara.

Menurutnya, fasa Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) ini sebagai permulaan ekonomi negara digerakkan semula setelah terhenti akibat COVID-19.

“Apabila kita bercakap tentang PKPB adalah bertujuan untuk kita ‘start’ semula ekonomi negara kita. Sebab, pada ketika kita mengadakan PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) ini yang semua aktiviti ekonomi tidak berjalan.

“Kita (negara) kerugian antara RM2 bilion hingga RM2.5 bilion sehari. Jadi apa pun, kerajaan kena pastikan supaya kita boleh gerakkan semula ekonomi kita secepat mungkin. Tetapi dalam masa yang sama kita tidak boleh melakukan serta merta, mesti ada prosesnya,” ujarnya.

Amzad menegaskan, situasi negara sekarang masih terkawal dan kerajaan mempunyai keutamaan tertentu yang disusun oleh mereka yang pakar.

Menurut beliau, setakat ini kesannya dapat dilihat satu persatu bahawa negara sedang menangani situasi ekonomi dalam masa sama mengawal keselamatan rakyat dengan cara yang terbaik.

Sumber: teganukita.net
Blog, Updated at: 5/13/2020

0 comments:

Loading...