PKPB : Aktiviti Ziarah Kubur Di Terengganu Tidak Digalakkan - Exco

Mohd Nor Hamzah.

KUALA TERENGGANU, 30 Mei - Kerajaan Terengganu tidak menggalakkan orang ramai melakukan aktiviti ziarah kubur semasa tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Mohd Nor Hamzah berkata, ini kerana risiko pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) PKPB semasa aktiviti tersebut adalah tinggi.

Jelasnya, meskipun belum ada keputusan rasmi di peringkat Majlis Keselamatan Negara (MKN) Terengganu berhubung perkara itu setakat ini, pihaknya tetap tidak menggalakkan aktiviti tersebut dilakukan.

"Apabila diadakan aktiviti tersebut, ia pasti melibatkan jumlah perhimpunan ramai dalam satu-satu masa.

"Oleh itu, kita melarang sebarang pertemuan atau perhimpunan diadakan di mana-mana lokasi termasuk tanah perkuburan kerana ia melanggar peraturan ditetapkan sepanjang PKPB," katanya ketika dihubungi media hari ini.

Sehubungan itu, beliau meminta kerjasama orang ramai supaya menangguhkan dahulu hasrat berkenaan sehingga keadaan kembali pulih.

"Lawatan ke lokasi itu boleh dilakukan selepas tamat PKPB atau apabila situasi negara kembali pulih daripada wabak COVID-19," tambah beliau.

Sumber: teganukita.net