12 Taska Di Terengganu Mula Beroperasi Isnin Ini



KUALA TERENGGANU, 30 Mei - Sebanyak 12
Taman Asuhan Kanak-kanak (Taska) dijangka mula beroperasi di Terengganu bermula 1 Jun selepas ia ditutup sejak penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 18 Mac lalu.

Pemangku Pengerusi Persatuan Pendidik Taska Swasta Negeri Terengganu (PPTNT), Ummi Rahimah Hassan berkata, kesemua Taska yang akan beroperasi itu menyediakan beberapa prosedur operasi standard (SOP) yang perlu dipatuhi oleh ibu bapa yang menghantar anak-anak mereka ke pusat jagaan itu.


"Setakat ini tak banyak ada dalam 12 buah Taska telah bersedia untuk kembali beroperasi pada 1 Jun nanti.

Selebihnya ada yang memilih untuk mula operasi semula pada 8 dan 14 Jun," katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.


Beliau berkata, hanya Taska berdaftar dan memiliki perakuan dibenarkan beroperasi.


"Setiap Taska juga wajib ikuti SOP yang telah digariskan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM)," katanya.


Dalam pada itu katanya, terdapat beberapa SOP yang telah ditetapkan melibatkan waktu sebelum menghantar anak ke Taska, ketibaan di taska dan semasa menjemput anak di taska.


"Ibu bapa perlu memeriksa tahap kesihatan dan suhu badan bagi memastikan anak mereka benar-benar sihat sebelum dihantar ke Taska," katanya.- Sinar Harian

Sumber: teganukita.net