Elektrik Percuma Untuk 4 Juta Pengguna Domestik


PUTRAJAYA, 20 Jun - Seramai empat juta atau 52.2 peratus pengguna domestik dengan bil elektrik RM77 dan ke bawah atau penggunaan bawah 300kWj akan menikmati bekalan elektrik percuma selama tiga bulan apabila kerajaan memperkenalkan Bantuan Prihatin Elektrik tambahan.

Manakala, penggunaan melebihi 300kWj pula akan menerima potongan bil sebanyak RM231 iaitu RM77 sebulan.

Inisiatif terbaharu itu membabitkan bulan April, Mei serta Jun dan bayaran akan dikreditkan semula dalam bil Julai.

Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah, berkata Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin meluluskan Bantuan PRIHATIN Elektrik Tambahan dalam kategori domestik di Semenanjung berjumlah RM942 juta bagi mengurangkan beban pengguna elektrik sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Secara keseluruhan Bantuan PRIHATIN Elektrik Tambahan itu akan memanfaatkan 7.66 juta pengguna elektrik," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Menurutnya, bantuan itu adalah tambahan kepada diskaun bil elektrik di bawah Bantuan Prihatin Elektrik yang dilaksanakan sejak 1 April lalu.

"Dengan pelaksanaan bantuan ini, jumlah diskaun yang diberikan kepada pengguna elektrik bagi tempoh 1 April hingga 30 September 2020 akan meningkat kepada RM2.2 bilion," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, TNB setuju menghentikan aktiviti pemotongan elektrik hingga 30 September.

"Pihak TNB juga akan membuat pengumuman lain selepas ini berkait tarif elektrik yang terbaharu selepas membuat beberapa kajian," tambah beliau.



Sumber: teganukita.net