Kerjasama Guru, Ibu Bapa Lancarkan Pelaksanaan SOP Baharu Sekolah

Khalil bersama pihak sekolah di hadapan dinding sekolah yang memaparkan peringatan tentang COVID-19.


Oleh : Akid Hafriz

KUALA TERENGGANU, 25 Jun – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Buruk, Muhammad Khalil Abdul Hadi berpuas hati dengan usaha dan kerjasama yang diberikan oleh pihak sekolah dan ibu bapa dalam mematuhi garis panduan yang telah ditetapkan oleh pihak berwajib.

Sewaktu tinjauan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Chendering, semalam beliau mendapati kesemua pihak berkerjasama mengamalkan tahap pematuhan ‘Standard Operation Procedure’ (SOP) yang baik dalam sesi pembukaan semula sekolah selepas pandemik COVID-19.

“Saya mengucapkan tahniah kepada pihak sekolah atas persediaan yang rapi dalam menyambut kedatangan para pelajar ke sekolah.

Pelajar menggunakan pencuci tangan sebelum masuk ke kelas.

"Saya berharap agar para pelajar dapat belajar dengan selesa walaupun di dalam keadaan dan suasana baharu ini. Apa yang penting kita mahu anak-anak kita selamat daripada wabak Covid-19 ini," katanya.

Terdahulu, sesi persekolahan di seluruh negara telah bermula pada semalam susulan pengumuman yang dibuat oleh Menteri Kanan (Pendidikan), Dr Mohd Radzi Md Jidin pada sidang media khas baru-baru ini.

Sesi persekolahan kali ini hanya melibatkan para pelajar yang bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Vokasional Malaysia (SVM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) dan peperiksaan antarabangsa yang setara.

Sumber: teganukita.net