MAVCAP Agensi Modal Teroka Usahawan Baru


Oleh: Ahmad Sabri Yusof

Malaysia Venture Capital Management Berhad (MAVCAP) merupakan sebuah agensi di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) yang menyediakan modal teroka (venture capital).

Timbalan Menteri MOSTI, Ahmad Amzad Hashim menjelaskan, dana tersebut berperanan untuk menyokong syarikat-syarikat teknologi yang baru mula bertatih di dalam industri dengan menyediakan modal teroka kepada mereka untuk terus berkembang maju.

Menurutnya, pelaburan kepada syarikat ‘startups’ ini bukanlah pelaburan yang rambang, bahkan potensi setiap syarikat akan dinilai oleh pakar pelaburan di dalam MAVCAP sebelum keputusan diambil untuk membiayai mereka.

Amzad dan Menteri MOSTI, Khairy Jamaluddin beramah mesra bersama usahawan yang hadir.
“Pelaburan oleh MAVCAP ini akan sentiasa dipantau dan dipandu oleh MOSTI untuk memastikan industri Sains dan Teknologi Malaysia terus melahirkan lebih ramai ‘technopreneur’ yang berdaya saing di peringkat global.

“Kejayaan pelaburan pula dinilai daripada aspek ‘exit strategy’ iaitu syarikat tersebut berjaya mengapungkan tawaran awam permulaan (IPO) atau pemilikan saham berpindah tangan kepada syarikat yang lebih besar,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) dalam lawatan kerja di MAVCAP bagi mengenali dengan lebih lanjut mengenai deskripsi serta skop tugasan agensi tersebut, baru-baru ini.

Sumber: teganukita.net