Taska Permata Patuhi SOP, Jalankan Sanitasi



KUALA TERENGGANU, 6 Jun -Kebenaran pembukaan semula Taman Asuhan Kanak-Kanak (Taska) dan pusat jagaan kanak-kanak tentunya memberi nafas lega kepada ibu bapa yang bekerja.

Taman Asuhan Kanak-Kanak TASKA di Terengganu yang bakal beroperasi 9 Jun dilihat mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan.

Nor Aidawati

Penolong Pengurus 2 Taska Permata Batu Buruk,  Nor Aidawati Mat Zain, berkata, aspek kebersihan diutamakan sebelum memulakan operasi.

Katanya, ini termasuk mengehadkan jumlah kanak-kanak yang dijaga daripada 265 orang kepada hanya 60 orang ketika ini.

"Pihak kami juga akan mengambil langkah pencegahan dengan menjalankan sanitasi dua hingga tiga kali sehari, mencuci barang mainan serta mengamalkan penjarakan sosial.

"Begitu juga dengan kakitangan yang akan mengamalkan SOP seperti diarahkan," ujarnya kepada wartawan Urus Setia Penerangan Darul Iman ( UPDI) selepas proses sanitasi taska, di sini hari ini.


Beliau turut berkata, bilik tidur yang sebelum ini memuatkan 13 kini dihadkan kepada dua hingga empat orang sahaja bergantung keluasan bilik

Ismail A Wahab

Sementara itu, Ketua Operasi Sanitasi Balai Bomba Kuala Terengganu, PBK11 Ismail A Wahab berkata pihaknya mendapat permohonan daripada pihak taska untuk proses nyahkuman sebelum beroperasi pada hari Selasa ini.

"Pihak kami mendapat permohonan daripada pihak taska untuk proses nyahkuman sebelum beroperasi.

"Hari ini dengan kekuatan lapan anggota, operasi ini dijalankan selaras dengan arahan bagi memastikan penularan Covid19 dapat ditamatkan,"ujarnya.

Sumber: teganukita.net