Tugas Kuarantin Berakhir, DITC Terengganu Dikembalikan

Hazri (dua dari kiri) menerima kunci sebagai simbolik penyerahan tersebut.
Oleh: Alfian Mamad

KEMAMAN, 28 Jun - Pejabat Kesihatan Daerah Kemaman menyerahkan kembali Darul Iman Training Centre (DITC) di Telok Kalong kepada pengurusannya setelah ianya diwartakan sebagai Pusat Kuarantin Khas COVID-19 di daerah Kemaman sejak 16 Mac lalu.

Sepanjang tempoh tersebut, pusat kuarantin itu telah menyaring seramai 416 orang di mana pecahan jantinanya adalah seramai 288 orang lelaki dan 128 orang perempuan yang disahkan negatif virus itu.

Pegawai Kesihatan Daerah Kemaman, Dr. Mohd Anuar Abd. Rahman berkata, tiada kes positif COVID-19 dikesan di sini dan ianya selamat diduduki untuk kegunaan awam setelah bangunan tersebut melalui proses pembersihan dan disinfeksi oleh Pejabat Kesihatan Daerah dan Bomba Kemaman.

Dr. Mohd Anuar Abd. Rahman.
"Sepanjang tempoh kami beroperasi di sini, tiada seorang pun yang dikesan sebagai pesakit yang positif COVID-19, kami hanya menyaring mereka yang disyaki negatif virus tersebut.

"Terima kasih kepada pengurusan DITC yang membenarkan kami menggunakan kemudahan ini seumpama hotel lima bintang dan ianya selamat digunakan kepada umum setelah melalui proses disinfeksi oleh pihak kami dan akhirnya oleh pihak Bomba," katanya.

Majlis Penyerahan Semula itu diadakan di Dewan Kuliah DITC Telok Kalong dan telah disempurnakan oleh Ahli Parlimen Kemaman, Che Alias Hamid, kelmarin.

Sementara itu, Pengerusi DITC, Hazri Jusoh menzahirkan jutaan tahniah kepada semua barisan hadapan yang telah menjalankan tanggungjawab dengan begitu cemerlang dalam menangani pandemik COVID-19 di Kemaman.

Hazri Jusoh.
"Saya sebagai wakil DITC mengucapkan setinggi tahniah kepada para petugas, badan bukan kerajaan dan terutama agensi kerajaan yang  bertungkus lumus membendung penularan virus tersebut di daerah kita ini.

"Kami juga yakin dan percaya bahawa tempat ini telah selamat sepenuhnya untuk digunakan oleh umum setelah diberi penerangan dan keyakinan oleh pihak berkelayakan iaitu Pejabat Kesihatan Daerah dan Bomba Kemaman," ujar beliau lagi.

Hazri yang juga Pegawai Penyelaras Dewan Undangan (DUN) Kijal berharap agar pihak kerajaan dan swasta tidak teragak untuk menghantar dan menggunakan perkhidmatan DITC sebagai kemudahan latihan untuk kakitangan mereka.

Turut hadir di majlis tersebut, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kemaman, Jusman Ibrahim dan wakil-wakil semua agensi kerajaan yang terlibat.

Sumber: teganukita.net