SPRM Kaji Keberkesanan Tindakan Pencegahan

Posted on Thursday, July 09, 2020 | 7/09/2020


Oleh: Rohayati Ripin

KUALA TERENGGANU, 9 Julai - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Terengganu menjalankan satu kajian selidik berkenaan keberkesanan tindakan pencegahan rasuah di Malaysia.

Pengarahnya, KPKPj (Ketua Penolong Kanan Pesuruhjaya) Ruslan Che Amad berkata, antara responden yang perlu memenuhi Kajian Persepsi Keberkesanan Tindakan Pencegahan Rasuah Oleh SPRM 2020 (KPATRM2020) itu adalah ahli politik.

"Objektif kajian ini tertumpu kepada penilaian terhadap usaha-usaha pencegahan rasuah secara menyeluruh yang telah dilaksanakan oleh SPRM bagi tahun 2020," jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pihak media selepas mengadakan kunjungan hormat ke Pejabat Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu, semalam.


Turut hadir ialah Timbalan Pengarah SPRM, PPj (Penolong Pesuruhjaya) Zainol Ayob, Penolong Pengarah SPRM, PsK (Penguasa Kanan) Najwa Mohd Sabry dan Penolong Setiausaha DUN Terengganu, Mohd Amirul Affiq Azemi.

Menurutnya, tujuan utama kunjungan hormat itu adalah sebagai salam perkenalan kepada Dato' Yahaya Ali.

Beliau sebelum ini bertugas di SPRM Wilayah Persekutuan Putrajaya dan berpindah ke negeri Terengganu serta mula berkhidmat pada Januari 2020.

Ruslan menambah, penerangan ringkas mengenai kajian telah diberikan dan YDP DUN bersetuju untuk memberikan kerjasama sepenuhnya bagi membantu dan menyokong usaha SPRM dalam kajian yang dijalankan ini.

"Selain itu, topik perbincangan juga merujuk kepada isu-isu integriti, program-program pencegahan serta penerangan tugas-tugas yang dijalankan oleh SPRM," tambah beliau.



Sumber: teganukita.net
Blog, Updated at: 7/09/2020

0 comments:

Loading...