Ola Bola, Terbaik Dari Langit Antara Filem Ditayang Percuma Di iQIYI Bulan Ini!


Malaysia bumi bertuah. Walau sejauh mana pun kaki melangkah, pastinya tidak boleh melupakan tanah tumpahnya darah masing-masing di sini. Masih berada dalam mood patriotik apatah lagi kita bakal meraikan Hari Malaysia 16 September ini, penyedia khidmat penstriman video, iQIYI akan melancarkan koleksi filem buatan tempatan untuk tontonan semua iaitu #AnakMalaysia.

#AnakMalaysia menampilkan seleksi hiburan tempatan dan Asia yang akan mencetus patriotisme rakyat Malaysia. Koleksi ini terdiri daripada filem dan drama terpilih yang pernah memenangi anugerah bertujuan meraikan wira-wira yang telah mengharumkan nama Malaysia. 

Turut termasuk dalam senarai koleksi ini adalah filem dan drama global popular yang menampilkan pelakon dari Malaysia. Jom check out apa yang menarik dalam koleksi #AnakMalaysia, bolehlah binge watching nanti!

Anak Merdeka



Menampilkan Remy Ishak, Elvis Chin dan Thanuja Ananthan, Anak Merdeka adalah siri sejarah yang mengisahkan bagaimana tiga rakan muda bertemu dan menghadapi peristiwa penting dan bersejarah di Malaysia selama 60 tahun. Kisah mereka adalah gambaran kisah Malaysia.

Ola Bola


Menyemarakkan lagi semangat kebanggaan adalah Ola Bola, salah satu daripada 15 filem paling laris di Malaysia, mengisahkan ahli pasukan bola sepak dari pelbagai bangsa yang berjaya ke Sukan Olimpik. Filem ini merangkul empat anugerah di Festival Filem Malaysia ke-28.

Adiwiraku


Kisah benar ketabahan dan ketekunan seorang guru sekolah, Cheryl Ann Fernando (Sangeeta Krishnasamy) melatih para pelajar sebuah sekolah luar bandar untuk berjaya dalam pertandingan choral speaking digambarkan dalam filem Adiwiraku. Karya ini telah memenangi Anugerah Filem Terbaik di Festival Filem Malaysia ke-29.

Lee Chong Wei: Rise of The Legend


Tiada seorang tokoh sukan moden yang berupaya menyatukan semua rakyat Malaysia melainkan Datuk Lee Chong Wei. Lee Chong Wei: Rise of the Legend adalah mengenai kisah inspirasi ikon kebangsaan Malaysia (yang juga muncul dalam peranan kameo), yang bangkit dari kemiskinan untuk menjadi pemain badminton terbaik di dunia. Ia juga merupakan salah satu filem Cina Malaysia yang paling laris.

Terbaik Dari Langit


Diarahkan oleh pengarah pemenang anugerah Nik Amir Mustapha, filem pengembaraan ini mengisahkan empat rakan sekolah menengah yang cuba membuat filem tentang UFO dan makhluk asing. Filem ini dibintangi pelakon pemenang anugerah Bront Palarae, Iedil Putra, Amerul Affendi, Sharifah Amani, dan Siti Saleha. Filem ini juga memenangi tiga anugerah daripada 12 pencalonan di Festival Filem Malaysia ke-27.

Police Story 3: Super Cop


Barisan pelakon termasuk #AnakMalaysia tercinta Tan Sri Michelle Yeoh, disamping pelakon lagenda Jackie Chan. Filem ini mengisahkan tentang seorang detektif Hong Kong yang bekerjasama dengan pengarah Interpol untuk melawan sindiket dadah dari China.

Koleksi hebat ini sudah boleh mula ditonton bermula 11 September sehingga 9 Oktober dan boleh diakses menerusi apps iQIYI atau www.iq.com/anakmalaysia.





Sumber: Oh! Media