'UMS sahkan Veveonah menduduki peperiksaan pada 9-12 Jun 2020' - Masidi

Posted on Wednesday, September 09, 2020 | 9/09/2020



Hari ini, Timbalan Pengerusi Bersatu Sabah, Masidi Manjun, memaklumkan dia telah berjumpa sendiri dengan Timbalan Naib Canselor dan Pengarah Asasi Sains UMS untuk mendapatkan gambaran sebenar mengenai isu Veveonah Mosibin  yang sedang hangat diperkatakan.

UMS sabah mengesahkan Veveonah tidak menipu dan sememangnya mengambil peperiksaan akhir secara online sehingga terpaksa memanjat pokok untuk mendapatkan capaian internet. 

"Veveonah sememangnya mengambil peperiksaan akhir antara 9 hingga 12 Jun 2020. Dia merupakan pelajar contoh dan ditawarkan untuk melanjutkan pengajian dalam bidang Sains Marin di peringkat ijazah di UMS," tulisnya di Twitter. 


Terdahulu, isu Veveonah menjadi semakin hangat biarpun Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Zahidi Zainul Abidin telah memohon maaf secara terbuka di Facebooknya. 

Dalam penjelasan Zahidi, dia memaklumkan maklumat itu diperoleh dari Anggota Parlimen Kudat, Abdul Rahim Bakri, yang juga merupakan Timbalan Menteri Kewangan. 

Namun, Abdul Rahim tetap mempertahankan diri di mana maklumat yang diperolehinya itu adalah sahih dan bertegas mengatakan Veveonah tidak menghadapi peperiksaan pada hari video viral itu dirakam.

Malah mereka mendakwa Veveonah hanya sekadar membuat 'content' bagi channel YouTube-nya dan meraih perhatian netizen. 

Kenyataan itu menimbulkan rasa tidak puas hati di kalangan netizen khususnya rakyat Sabah termasuk abang kepada Veveonah yang tampil mencabar dua pemimpin berkenaan datang ke kampung mereka untuk melihat tahap perkhidmatan internet sebenar, bukan hanya sekadar dengar cakap-cakap orang sahaja. 

Netizen juga menyelar kenyataan dua pemimpin itu yang dianggap sebagai membuli Veveonah, sedangkan remaja itu langsung tidak berniat mengeruhkan keadaan, hanya sekadar mahu memastikan dia mendapat capaian internet untuk turut serta dalam peperiksaan online yang dibuat oleh Universiti Sabah Malaysia (UMS). 


Selain itu, netizen juga berpandangan, isu sama ada Veveonah menghadiri peperiksaan atau tidak, bukanlah isu utama. Tetapi di mana usaha kerajaan pusat dalam memastikan rakyatnya di luar bandar Sabah memperolehi kemudahan internet. 

Zahidi sebelum ini juga menyatakan hasrat untuk bertemu dengan Veveonah bagi menyelesaikan salahfaham itu. Tetapi sumber dalaman mengatakan, Zahidi dinasihatkan untuk tidak meneruskan niatnya itu kerana ia akan mengeruhkan lagi keadaan.

Netizen berharap, penjelasan dan pengesahan itu dapat meredakan keadaan. Selain itu juga, netizen memohon Veveonah dan keluarganya tidak diganggu oleh mana-mana ahli politik dari mana-mana parti pun. 

"Biarlah mereka hidup dengan aman dan Veveonah dapat menumpukan sepenuh perhatian kepada pengajiannya," kata netizen yang turut berterima kasih di atas usaha Masidi mendapatkan pengesahan padu itu. 



Sumber : thereporter.my
Blog, Updated at: 9/09/2020

0 comments:

Loading...