PBFW Terengganu Ke Perlawanan Akhir Liga Felda 2016


PERSATUAN Bola Sepak Felda Wilayah (PBFW) Terengganu dan Segamat berdepan cabaran sengit sebelum menempah tiket ke perlawanan akhir Liga Felda 2016 di Stadium Tun Abdul Razak (Star) Jengka, 8 Oktober nanti.

Tumpuan pastinya terarah bagi perlawanan aksi di antara PBFW Terengganu menentang PBFW Jengka yang merupakan penyandang juara musim lalu.

Tuan rumah berdepan cabaran getir sebelum melangkah ke final apabila diikat Jengka 1-1 tamat 90 minit perlawanan di Padang Astaka, Kuala Berang, Sabtu lalu.

Aksi Terengganu dan Jengka buntu tanpa sebarang jaringan sehingga penghujung perlawanan dengan kedua-dua pasukan mengambil pendekatan berhati-hati dalam permainan.

Pelawat terlebih dahulu membuka jaringan untuk mengejutkan tuan rumah pada minit ke-87, mencemaskan tuan rumah yang terpaksa menggandakan usaha dan akhirnya meledak jaringan penyamaan pada minit ke-90 menerusi Herman Jaafar.

Jurulatih Terengganu, Mohd Sharul Abdul Rahman mengakui lega apabila anak buahnya bangkit meledak dua gol pada masa tambahan untuk menyingkirkan Jengka.

“Sudah pasti saya lega selepas terikat 90 minit perlawanan. Kami mempunyai peluang namun kegagalan menyudahkannya membawa padah.

“Saya berasakan kami akan menang mudah sekiranya penyerang utama kami, Azezy Azli tidak menjalani penggantungan kad merah dalam aksi separuh akhir ini,” katanya.

Segamat pula berjaya mengulangi pencapaian mara ke final seperti edisi 2014 apabila mengetepikan cabaran sengit Gua Musang pada aksi separuh akhir di Stadium Kluang.

Beraksi di tempat sendiri jelas tidak memberikan laluan mudah kepada anak buah Mohd Iftitah Ishak apabila sekadar melakarkan kemenangan 2-1 ke atas wakil Kelantan.

“Perlawanan seimbang dengan kedua-dua pasukan melakukan serangan dan mencipta peluang. Kami terlebih dulu jaringkan gol pembukaan sebelum pelawat menyamakan kedudukan dalam aksi 45 minit pertama.

“Namun kami akhirnya meledak gol kemenangan pada babak kedua untuk menempah tiket ke final bagi merebut Piala Pengerusi Felda,” katanya.

Jelasnya, komitmen tinggi pemain dan pihak pengurusan membolehkan mereka melangkah ke final kedua dalam tempoh tiga tahun.

“Pemain jelas tidak mudah mengalah terutama apabila lawan menjaringkan gol. Lawan tidak beri laluan mudah namun kami berusaha dan akhirnya berjaya,” katanya. - SH