Terengganu Sasar Curi Satu Mata Di Larkin



TERENGGANU tidak mahu mudah menyerah kalah kepada peneraju Liga Super, Johor Darul Ta'zim (JDT) dalam perlawanan di Stadium Larkin, malam ini.

Sebaliknya, ketua jurulatih Terengganu, Che Ku Marzuki Che Ku Mohd Nor bertekad untuk mencuri satu mata dengan mencatat keputusan seri.

Marzuki berkata, biarpun menyedari misi sukar yang bakal mereka tempuhi, itu tidak bermakna mereka akan memberi kemenangan mudah kepada anak buah Mario Gomez di gelanggang keramat mereka.

“JDT merupakan pasukan yang hebat musim ini kerana mereka dibarisi pemain berkualiti.

“Bagaimanapun, kami bersedia untuk beri tentangan sengit kepada mereka, seterusnya memperbaiki kedudukan kita dalam liga.

“Sudah pasti kita mahukan kemenangan dalam perlawanan ini, namun kalau dapat satu mata pun saya cukup berpuas hati kerana kita bermain di gelanggang lawan,” katanya.

Mat Yo akan diketepikan pada perlawanan menentang JDT, malam ini
Menurutnya, semua pemain Terengganu perlu bekerjasama dengan mantap untuk mengekang asakan lawan kerana JDT akan turun dengan semangat juang yang tinggi untuk meraih tiga mata bagi memastikan kejuaraan liga menjadi milik Harimau Selatan, sekali gus mencipta sejarah selaku kelab pertama melakar hatrik juara liga.

“Walaupun kita akan turun tanpa tonggak utama, Mat Yo (Norshahrul Idlan Talaha) dan Affize, saya harap pemain lain akan bersungguh-sungguh dengan sekurang-kurangnya membawa pulang satu mata,” katanya. - SH