THT Raih Kejuaraan Hatrik Juara Piala TNB


Terengganu Hockey Team (THT) melengkapkan kejuaraan hatrik apabila menewaskan Sapura 3-0 dalam aksi final Piala TNB yang berlangsung di Stadium Tun Razak, sebentar tadi.

Kejayaan tersebut merupakan pengulangan kejayaan menjuarai Liga Hoki Malaysia dan Piala TNB pada tahun 2014 dan 2015.

Skuad kendalian Sarjit Singh itu membuka tirai jaringan seawal minit keenam menerusi pukulan sudut penalti yang disempurnakan pemain import Korea Selatan, Jang Jong Hyun.

Sapura cuba bangkit dalam misi menyamakan kedudukan, namun kecemerlangan penjaga gol THT, Hafizuddin Othman, memastikan hajat tersebut gagal dilunaskan.

Dalam keasyikan Sapura memburu gol, THT sebaliknya memecah kebuntuan buat kali kedua malam ini menerusi pukulan 'reverse stick' pemain import Argentina, Nicolas Enrique Della Torre, pada minit ke-22.

Jong Hyun mengesahkan kemenangan bergaya THT apabila meledak gol ketiga perlawanan, juga menerusi pukulan sudut penalti, pada minit ke-51.

Tonggak import Korea itu memainkan peranan penting buat THT musim ini apabila muncul selaku penjaring terbanyak Liga Hoki Malaysia dengan 16 gol, sekali gus membawa pulang habuan wang tunai sebanyak RM2,000.

Sementara itu, Fitri Saari turut meraih hadiah wang tunai sebanyak RM2,000 susulan muncul sebagai pemain terbaik malam ini. - SA