Kuala Terengganu: Biarpun mengakui ada peningkatan corak permainan dipamerkan pemainnya terutama ketika ‘berkampung’ selama 12 hari di Indonesia pada awal bulan, ketua jurulatih T-Team Rahmad Darmawan masih belum mampu tersenyum.
Sebaliknya jurulatih kelahiran Metro Lampung, Jakarta itu menuntut gandingan lebih mantap anak buahnya sebelum aksi Liga-M yang dijadualkan pada 20 Januari depan.
“Secara purata pemain sudah menampakkan banyak peningkatan terutama dalam kalangan pemain muda bawah usia 22 tahun, namun untuk bersaing dalam aksi liga nanti kami perlu menyediakan pemain berkualiti dan mantap selain mereka juga perlu mempunyai pengalaman beraksi.
“Justeru, kami akan mengadakan lima perlawanan persahabatan sebelum menyenaraikan kesebelasan utama,” kata Rahmad sebelum aksi persahabatan bertemu Kuantan FA, semalam.
Rahmad berkata, selain Kuantan FA, skuad The Titans akan bertandang ke Kuala Lumpur untuk pertemuan persahabatan dengan PDRM pada 29 Disember, ATM (2 Januari), diikuti Sime Darby (3 Januari) dan terakhir bertemu naib juara Liga Super, FELDA United (4 Januari).
“Kami tidak memancing pemain berstatus bintang, sebaliknya menggunakan khidmat lapan pemain Piala Presiden kami dan dua pemain Piala Presiden Terengganu,” katanya.
Aksi pemanas badan di Indonesia menyaksikan T-Team mencatat tiga kemenangan, menewaskan kelab Persikabo Bogor (3-1), Football Plus FC (9-1), Jagorawi FC (3-1) dan seri dengan Persigar Garut (1-1).
T-Team kehilangan lima pemain tonggak yang dipancing pasukan lain termasuk pemain berusia 19 tahun Mohd Safawi Rasid, Izzaq Faris Ramlan, Mohd Asrol Ibrahim, Wan Mohd Azraie Wan Teh dan Mohd Ilham Amirullah Razali. - HMetro