Terengganu Langkah Kanan Rai Kemenangan


PASUKAN Terengganu meraikan kemenangan pertama dengan mengutip tiga mata penuh selepas menundukkan PDRM, 1-0 dalam aksi Liga Perdana di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, sebentar tadi.

Kemenangan itu jelas mengembirakan penyokong setia skuad Penyu yang sebelum ini kempunan untuk menyaksikan skuad kendalian Irfan Bakti Abu Salim itu meneruskan permainan selepas aksi pembuka tirai bertemu Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) terpaksa ditunda ekoran faktor padang yang kurang memuaskan selepas hujan lebat sebelum perlawanan, Jumaat lalu.

Pada pertemuan itu menyaksikan kedua-dua pasukan turun dengan semangat membara dengan memulakan aksi bertenaga, begitupun kem tuan rumah terlebih dahulu mencemaskan gawang pelawat menerusi percubaan tonggak import,  Federico Matias Falcone seawal minit ketiga perlawanan, namun rembatannya mudah dibaca Muhd Hamdan Sairi.

Percubaan awal itu nyata menyuntik semangat skuad kendalian Irfan Bakti Abu Salim dalam membuka jaringan dan skuad Penyu sekali lagi terlepas peluang untuk berada di depan pada minit kelapan, tetapi tandukan Issey Nakajima terkena palang gol.

Sorakan penyokong tuan rumah terus bergema apabila jentera serangan skuad Penyu yang diketuai, Matias Falcone terus mengasak benteng pertahanan PDRM, namun usaha Muhd Ferris Danial (minit 9) dan Lutfulla Turaev (minit 11) untuk meledakkan gol menemui jalan buntu.

Pelawat yang dilihat sedikit tertekan dengan serangan awal tuan rumah mula mengatur gerakan, bagaimana mudah dipatahkan benteng pertahanan tuan yang diketuai Lazaro Vinicius dan gandingannya Mohd Izuan Jaruddin.

Terengganu yang menampilkan aksi yang lebih berdisplin akhirnya berjaya menamatkan kebuntuan gol menerusi rembatan deras Muhd Shahrin Sapien pada minit ke-33 hasil lorongan kemas Lutfulla Turaev untuk jaringan pembukaan tuan rumah.

Enam minit selepas itu, skuad Penyu hampir mengukuhkan kedudukan menerusi percubaan Lutfulla Turaev, namun sepakan leretnya mudah dibaca Muhd Hamdan Sairi.

PDRM yang sesekali melakukan asakan nyaris merapatkan jurang kedudukan menerusi percubaan liar Ahmad Nizam Mohd Rodzi pada minit ke-40, tetapi percubaan dari luar kotak penalti itu sekadar melepasi palang gold an kedudukan itu kekal sehingga ke bilik persalinan.

Bersambung babak kedua memperlihatkan kedua-dua pasukan terus memperkemaskan rentak permainan masing-masing dan pemain sayap Terengganu, Muhd Ferris Danial hampir menjaringkan gol kedua tuan rumah pada minit ke-53, namun berjaya diselamatkan penjaga gawang PDRM.

Perlawanan menjadi semakin sengit apabila skuad Penyu terus melakukan asakan bertali arus ke gawang pelawat, bagaimanapun Muhd Hamdan nyata memperagakan aksi cemerlang nafikan apabila berjaya beberapa percubaan merbahaya tuan rumah.

Pelawat yang cuba bangkit untuk mencari jaringan penyamaan terpaksa akur dengan kekalahan itu setelah kem tuan rumah terus menggenggam tiga mata berharga di hadapan penyokong sendiri. - Sinar Harian