Pengendali Terengganu, Irfan Bakti Abu Salim, jelas berpuas hati dengan sumbangan pemain importnya, Lutfulla Turaev, yang mencipta dua gol untuk membantu pasukan itu menang 2-1 ke atas MISC-MIFA di Kuala Terengganu, malam tadi.
“Pasukan lawan bermain dengan aksi bertahan dengan 10 pemain berkampung di kawasan sendiri pada babak pertama sehingga menyukarkan kami menembusi barisan pertahanan mereka.
“Kami tidak boleh terlalu bergantung kepada penyerang utama, Federico Falcone, untuk menjaringkan gol dan saya mengarahkan mereka melakukan lebih banyak gerakan dari bahagian tengah.
“Percaturan itu menjadi pada 45 minit kedua dengan terhasilnya dua gol dari Turaev,” ujarnya.
Perlawanan malam tadi menyaksikan Turaev muncul wira dengan menjaringkan dua gol menarik pada minit ke-46 dan minit ke-62 sebelum pasukan pelawat merapatkan kedudukan menerusi tandukan Michael Chukwubunna (m-78).
“Kami bolos dengan gol mudah sedangkan dalam sesi latihan, kami telah mempersiapkan situasi menghadapi bola mati.
“Namun, tiga mata adalah yang paling penting dan tahniah buat pemain-pemain,” tambah Irfan.
Ketua jurulatih MISC-MIFA, Jacob Joseph, pula tetap berbangga dengan komitmen pasukannya meskipun mengalami kekalahan ketiga berturut-turut.
“Terengganu adalah pasukan yang bagus dan saya gembira dengan apa yang ditunjukkan pemain-pemain memandangkan kami masih mencari persefahaman terbaik.
“Saya yakin mereka akan bangkit dalam perlawanan akan datang menentang Johor Darul Ta’zim II (JDT II) dengan misi untuk kekal dalam Liga Perdana,” katanya. - Arena