SEMANGAT juang yang tinggi pasukan bola sepak Terengganu (Terengganu FA) dilihat menjadi faktor skuad itu berjaya berada pada tangga terbaik dalam saingan Liga Perdana selepas seri dua sama menentang Negeri Sembilan di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu, di sini, malam tadi.
Pengendali pasukan Skuad Penyu, Irfan Bakti Salim berkata, meskipun anak buahnya ketinggalan dua gol pada babak pertama permainan ia tidak melunturkan semangat mereka dan bangkit menyamakan kedudukan pada babak kedua perlawanan.
Ia sekali gus meletakkan pasukan Terengganu menghuni tangga kedua liga manakala pelawat hanya satu tangga di belakang.
“Pada babak pertama pemain banyak memberikan ruang dan peluang kepada pasukan pelawat dengan membiarkan pemain lawan bebas di kawasan tengah.
“Namun kesilapan itu berjaya diatasi pada separuh masa kedua dengan menyamakan kedudukan, sekali gus dapat mengumpul satu mata (pada perlawanan ini),” katanya kepada pemberita.
Pada perlawanan itu, pasukan pelawat menghasilkan gol pada minit ke-38 dan 41 menerusi Jonathan Henri Desire William Behe sebelum tuan rumah melalui Tchetche Hermann Brice Kipre menyamakan kedudukan pada minit 47 dan 90.
Irfan Bakti dalam pada itu berkata Tchetche juga semakin menyerlah dalam setiap perlawanan walaupun gagal menjaringkan gol.
"Permainannya semakin meningkat dan sebagai penyerang Tchetche mencuba yang terbaik," katanya.
Untuk rekod Terengganu kini menduduki tangga kedua liga dengan mengumpul 38 mata berkongsi mata yang sama dengan Kuala Lumpur.- Bernama
Kipre Tchetche Muncul WIRA Pasukan Terengganu
PENYERANG kelahiran Ivory Coast, Kipre Tchetche muncul wira buat skuad Penyu apabila dua jaringannya berjaya mengikat kedudukan 2-2 ketika turun melayan kunjungan Negeri Sembilan pada aksi Liga Perdana di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, malam tadi.
Pada perlawanan itu, pasukan Terengganu nyaris diaibkan di hadapan lebih 6,000 penyokong sendiri apabila skuad kendalian Mohd Asri Ninggal berjaya mengukuhkan kedudukan pada babak pertama perlawanan menerusi jaringan ‘ ayam tambatan’, Jonathan Behe pada minit ke-38 dan 41.
Begitupun, penyerang baharu kem tuan rumah, Kipre Tchetche bangkit menjaringkan gol penyamaan pada minit ke-47 dan 90 untuk menafikan hajat kem Negeri Sembilan kembali merampas takhta liga.
Keputusan seri itu bagaimanapun menyaksikan skuad Penyu terpaksa melepaskan takhta liga kepada Kuala Lumpur dan sekadar berpuas hati ditangga kedua setelah skuad Ibu Kota itu memiliki kelebihan jaringan selepas masing-masing mengutip 38 mata selepas mengharungi 18 perlawanan.
Pengendali skuad Penyu, Irfan Bakti Abu Salim mengakui gembira dengan kebangkitan dan semangat juang tinggi yang ditonjolkan anak buahnya tatkala mereka hampir dari ambang kekalahan di halaman sendiri.
Menurutnya, pada babak pertama perlawanan pemainnya terlalu banyak memberi ruang buat pasukan lawan untuk mendominasi bahagian tengah sehingga mudah dibolosi dengan dua jaringan.
“Bagaimanapun saya telah mengarahkan pemain agar menutup pergerakan tonggak utama pasukan lawan, Bruno Suzuki dan Jonathan Behe yang dilihat bergerak bebas dalam melakukan serangan.
“Alhamdulillah pemain berjaya melaksanakan tanggungjawab mereka dengan baik selain menunjukkan semangat juang yang cukup membanggakan untuk bangkit mengikat kedudukan pada babak kedua perlawanan,” katanya ketika ditemui sejurus tamat perlawanan.
Mengulas lanjut, Irfan Bakti mengakui berpuas hati dengan kebangkitan skuad kendaliannya terutamanya pada babak kedua perlawanan dan memuji karakter ditunjukkan pemain.
Katanya, walaupun sekadar meraih keputusan seri, namun pasukannya masih berada di kedudukan dua teratas dan mereka perlu terus bekerja keras bagi memastikan skuad Penyu mampu kembali di persada Liga Super musim depan.- Sinar Harian