(VIDEO) Kipre Tchetche WIRA Pasukan Terengganu


Kuala Terengganu: PASUKAN Terengganu gagal mempertahankan tahkta liga apabila sekadar mencatatkan keputusan seri 2-2 ketika turun melayan kunjungan Negeri Sembilan dalam aksi Liga Perdana di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, malam tadi.

Klik untuk play video sorotan perlawanan semalam

Begitupun hujan lebat kira-kira 15 minit sebelum sepak mula berlangsung menyebabkan padang digenangi air memaksa pertemuan itu ditangguhkan selama 40 minit.

Sebaik permainan bermula, pelawat mempamerkan aksi garang apabila terus melakukan asakan ke benteng pertahanan tuan rumah dan berjaya mencemaskan gawang skuad Penyu menerusi percubaan awal Mohd Noor Hazrul Mohd Mustaffa pada minit ketiga.

Percubaan awal itu bagaimanapun tidak melemahkan semangat pasukan Terengganu apabila bangkit mengatur serangan balas menerusi dua percubaan Ismail Faruqi Ashari pada minit kelima dan ke-12, namun gagal menemui penyudah yang kemas.

Lima minit berselang (minit 17) kem tuan rumah hampir membuka jaringan hasil lorongan cantik Kipre Tchetche tetapi gagal disempurnakan dengan baik J Partiban.

Sebaliknya, kem pelawat berjaya membuka jaringan menerusi Jonathan Behe pada minit ke-38 selepas memanfaatkan kesilapan ketua pasukan Terengganu, Lazaro Vinicius yang gagal membuat hantaran kemas kepada pengaja gol Mohd Suffian Rahman Kungi Raman.

Belum sempat tuan rumah bangkit mengatur gerakan, Jonathan Behe sekali lagi meledakkan gol kedua buat Negeri Sembilan hasil sepakan penjuru Lee Andrew Tuck pada minit ke-41 sekaligus membawa perlawanan ke bilik persalinan.

Bersambung babak kedua, tuan rumah tidak menunggu lama untuk merapatkan jurang kedudukan apabila Kipre Tchetche menjaringkan gol pertama Terengganu pada minit ke-47 hasil lorongan kemas Ismail Faruqi Ashari.

Jaringan nyata menyuntik semangat tuan rumah dalam mencari jaringan penyamaann dengan melakukan serangan bertali arus ke gawang pelawat, namun beberapa peluang keemasan berjaya dinafikan benteng pertahanan dan penjaga gol Negeri Sembilan yang dikawal ketat Mohd Kaharuddin Abdul Rahman.

Terengganu yang terus bekerja keras akhirnya membuahkan hasil apabila Kipre Tchetche muncul wira skuad Penyu dengan menjaringkan gol penyamaan pada minit 90 sekaligus menceriakan lebih 6,000 penyokong tuan rumah daripada diaibkan di gelanggang sendiri.

Keputusan seri itu menyaksikan pasukan Terengganu sekadar berpuas hati di tangga ke dua liga dibelakang pendahulu liga, Kuala Lumpur yang hanya dipisahkan dengan jumlah jaringan setelah masing-masing mengutip 38 mata selepas 18 perlawanan. - Sinar harian