Irfan Bakti Idam Tutup 2017 Dengan Kegemilangan


Ipoh: Pengendali Terengganu, Irfan Bakti Abu Salim, mengakui kemenangan ke atas Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) di Ipoh, malam esok, tidak mencukupi untuk menjulang trofi Liga Perdana.

Justeru, menurut Irfan, dia mengharapkan keputusan perlawanan lain berpihak kepada mereka dengan senario terbaik pendahulu liga, Kuala Lumpur, keciciran mata dalam kunjungan ke Johor Darul Ta’zim (JDT) II.

Malah, jurulatih berpengalaman itu berhasrat menceriakan kem Sang Penyu dengan membawa pulang trofi pertama Terengganu sejak enam tahun lalu.

“Walaupun sudah layak ke Liga Super, kami masih ada satu peluang untuk menggembirakan penyokong Terengganu, iaitu dengan menjuarai Liga Perdana.

“Saya yakin barisan pemain akan memberikan persembahan terbaik dalam perlawanan terakhir musim ini,” kata Irfan.

Kehadiran penyokong setia Terengganu ke Ipoh juga ujarnya dapat meningkatkan moral pasukan, sekaligus menutup kancah Liga Perdana dengan senyuman.

“Sudah tentu saya akan mempertaruhkan kesebelasan terkuat, kecuali pertahanan kiri, Adib Aizuddin (Ab Latif), yang tidak dapat beraksi,” tambah Irfan. - Arena