Pemain Sudah Bersedia! Ayuh Penyokong!


Kuala Terengganu: Selepas mengesahkan tempat ke Liga Super musim depan, pemain Terengganu mengaku belum puas sebaliknya bertekad mahu menutup tirai Liga Perdana musim ini dengan noktah kemenangan biarpun sedar akan ditentang sengit Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP FC) di Stadium Perak, malam ini.

Pemain tengah, Shukur Jusoh berkata, kemenangan itu juga penting buat pasukan untuk mengintai trofi Liga Perdana sekiranya pendahulu liga, Kuala Lumpur gagal mengutip mata penuh bertemu Johor Darul Ta’zim II (JDT II).

Bekas pemain kebangsaan itu berkata, rakan sepasukannya sudah melaungkan keazaman mahu mencatat kemenangan sambil bertekad akan tampil dengan aksi lebih bertenaga kerana ia peluang terbaik buat pasukan untuk memburu kejuaraan liga biarpun dicabar hebat skuad Warga Kota.

“Kami tidak akan ‘simpan kuku’ sebaliknya berusaha untuk sajikan aksi sebaik mungkin bagi memastikan impian pasukan untuk memburu kejuaraan liga tercapai walaupun perlu menanti keputusan skuad Kuala Lumpur,” kata Shukur.

Kelmarin, jurulatih skuad itu, Irfan Bakti Abu Salim mengingatkan pemainnya supaya tidak leka sebaliknya perlu menggunakan sepenuh tenaga dalam misi mengutip tiga mata bertemu PKNP FC walaupun beraksi di laman lawan apatah lagi pendatang baru Liga Perdana itu pasti tampil dengan impian yang sama.

Irfan juga turut mengingatkan pemainnya tidak memikirkan keputusan perlawanan antara pendahulu liga, Kuala Lumpur dengan JDT II kerana baginya skuad Terengganu juga berpeluang untuk muncul juara liga. - Harian Metro